Thursday, July 2, 2009

ADUN tegur kontraktor gagal siap projek

JERANTUT 1 Julai - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak menegur sikap kontraktor yang gagal menyiapkan projek pembinaan calet di Kampung Pagi, Hulu Tembeling di sini sehingga menjejaskan pembangunan sektor pelancongan di kawasan itu.

Beliau berkata, kontraktor terbabit perlu menyiapkan projek pembinaan calet itu yang menelan kos lebih RM100,000 mengikut jadual.

Ini kerana, katanya, projek itu perlu disiapkan segera bagi menyediakan kemudahan penginapan kepada pelancong disebabkan permintaan semakin bertambah.

"Kita memandang serius kelewatan menyiapkan projek itu yang sepatutnya mengikut jadual supaya boleh digunakan oleh pelawat ke Taman Negara Kuala Tahan yang singgah di kampung ini," katanya ketika melawat projek itu semalam.

Menurut Wan Amizan, kelewatan pembinaan projek itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia dilaksanakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) milik kerajaan negeri.

Beliau yang juga Pengerusi Exco Pembangunan Luar Bandar Pemuda UMNO berkata, pihaknya telah menghantar surat meminta penjelasan daripada PKNP mengenai kelewatan itu.

"Saya jangkakan, pembinaan calet ini hanya mengambil masa antara dua hingga tiga bulan memandangkan projek ini tidaklah sebesar mana di samping ramai pekerja," katanya.

Jelasnya, pegawai PKNP sewajarnya memantau kerja pembinaan berkenaan siap mengikut jadual selain jaminan kualiti dan manfaat keselesaan untuk orang ramai.

Sementara itu, Ketua Kampung Pagi, Mi Hamidi Nipah berkata, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah memaklumkan kelewatan projek itu kepada PKNP.

"Namun, saya nampak tidak ada pekerja yang datang membina calet itu dan tidak tahu kenapa mereka melengah-lengahkan kerja pembinaannya," katanya.


Sumber Berita : Utusan Online 02/07/2009 (www.utusan.com.my)

Monday, June 1, 2009

Penerima zakat perlu bijak manfaat sumbangan

JERANTUT 29 Mei - Penerima zakat perlu bijak memanfaatkan bantuan yang diberikan terutama ketika negara berdepan cabaran ekonomi dan kenaikan harga barangan tidak menentu ketika ini.

Kadi Daerah Jerantut, Ahmad Nizam Abdul Manan berkata, kemelesetan ekonomi yang dijangka berterusan sebenarnya menuntut golongan miskin dan berpendapatan sederhana khususnya di luar bandar supaya lebih berhemah dalam berbelanja serta bijak mengurus kewangan.

"Justeru penerima bantuan zakat wajar berjimat-cermat ketika berbelanja dan mengamalkan tabiat menabung untuk kegunaan masa kecemasan dan juga persekolahan anak-anak," katanya kepada pemberita selepas majlis pengagihan bantuan zakat di Kampung Pagi, Hulu Tembeling hari ini.

Pada majlis itu, seramai 59 orang dari golongan asnaf di kawasan Mukim Hulu Tembeling, Jerantut telah menerima sumbangan zakat daripada syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB) bernilai RM29,500.

Mereka terdiri daripada penduduk di lima buah kampung, iaitu Kampung Pagi, Kuala Sat, Bantai, Mat Daling dan Gusai yang masing-masing menerima sebanyak RM500 seorang.

Hadir sama, Penghulu Mukim Hulu Tembeling, Jamal Jahidin dan Ketua Kampung Pagi, Mi Hamidi Nipah.

Dalam pada itu, Ahmad Nizam berkata, Pejabat Kadi Jerantut telah mengenal pasti seramai 97 orang golongan asnaf di Mukim Hulu Tembeling yang layak diberi bantuan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menjelang bulan Ramadan dan Hari Raya nanti.

"Bantuan untuk golongan asnaf ini bernilai RM50 seorang mengikut bilangan isi keluarga yang akan diberi menjelang bulan Ramadan," katanya.

Beliau berkata, MUIP sentiasa mengambil berat kebajikan penduduk di luar bandar dan membantu golongan fakir dan kurang mampu melalui pengagihan sumbangan zakat dan bantuan lain dari semasa ke semasa.

Sumber : Utusan Online 30/05/09 (www.utusan,.com.my)

Friday, May 29, 2009

Belia diminta manfaat program anjuran KBS

JERANTUT 29 Mei – Golongan belia diminta memanfaatkan program di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memperkasa pengurusan organisasi termasuk kepimpinan belia pada masa akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, belia di semua peringkat merupakan aset bernilai untuk mencorakkan hala tuju pembangunan dan daya saing negara di peringkat global.

Beliau berkata, taraf pendidikan belia yang kini berbeza, memerlukan satu pendekatan lebih proaktif dan interaktif bagi menarik minat mereka terhadap berpersatuan, kepimpinan serta dasar pembangunan belia.

“Kerajaan menggunakan pelbagai kaedah menerusi program tertentu dalam usaha mendekati dan menarik minat kelompok muda untuk membimbing dan memperkasakan jati diri mereka,” katanya berucap di majlis penutupan Kursus Personaliti Belia, Kursus Intervensi Gejala Sosial dan Kursus Pemimpin Muda, di Kuala Tahan dekat sini semalam.

Kursus anjuran Pejabat Belia dan Sukan Jerantut (PBSJ) itu disertai oleh seramai 105 orang belia dan 48 orang beliawanis mewakili pelbagai pertubuhan belia di daerah ini.

Menurut Wan Amizan, bimbingan berterusan amat penting untuk membantu belia supaya lebih berdaya saing, berwawasan dan mempunyai pengetahuan mendalam mengenai pentadbiran kerajaan dan dasar pembangunan negara hari ini.

“Maka itu, program yang digagaskan oleh KBS ini boleh menyedarkan belia tentang tanggungjawab yang perlu mereka galas selaku bakal pemimpin dalam keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.


Sumber : Utusan Online 30/05/09 (www.utusan.com.my)

Friday, May 15, 2009

Bank Rakyat, BSN serah zakat perniagaan lebih RM1.36 juta

JERANTUT 15 Mei - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2008 berjumlah RM1,369,561 kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di sini kelmarin.

Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Datuk Zainuddin Abdul Rahman menyerahkan replika cek berjumlah RM1,269,561 kepada Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, sementara Pengurus BSN negeri, Badli Hamsan pula menyerahkan replika cek berjumlah RM100,000.

Majlis penyerahan zakat itu turut hadiri oleh Pengurus Besar Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang, Halidan Md. Daud; Pegawai Agama Islam Jerantut, Ahmad Nizam Abdul Manan dan Pegawai Agama Islam Raub, Khairul Amran Abd Jalil.

Menurut Wan Abdul Wahid, pada tahun lalu kutipan zakat yang diperolehi oleh PKZ Pahang ialah sebanyak RM57 juta meliputi zakat harta sebanyak RM51 juta dan zakat fitrah RM6 juta.

"Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM12 juta adalah perolehan zakat yang dikeluarkan oleh badan korporat termasuklah sektor perbankan yang ada di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan dan Agihan Zakat di sini.

Wan Abdul Wahid berkata, dalam usaha memperkemaskan kutipan zakat, MUIP menubuhkan Unit Kutipan Zakat bagi membolehkan pembayaran zakat dilakukan secara lebih sistematik dan mengikut ketetapan serta peraturan yang telah digariskan.

Selain itu katanya, MUIP juga menyusun pelan strategi tindakan jangka panjang, termasuk menambah kakitangan yang kini berjumlah 79 orang, dalam usaha memantap dan meningkatkan kualiti pengurusan serta perkhidmatan yang ditawarkan kepada masyarakat.

Sempena majlis itu, Wan Abdul Wahid turut menyaksikan penyerahan zakat kepada surau Kampung Paya Petai Jerantut berjumlah RM60,000 dan surau Sekolah Menengah Kebangsaan Orang Kaya Haji, Lipis sebanyak RM58,000.

Turut menerima sumbangan zakat, iaitu Persatuan Pengasih Malaysia sebanyak RM19,000, Persatuan Orang Cacat Penglihatan (RM15,000) dan Sekolah Menengah Agama Chat, Budu, Lipis (RM20,000).

Bantuan zakat bulanan untuk golongan fakir bernilai RM3,500 turut disumbangkan kepada 14 orang asnaf, sementara 17 lagi penerima menerima bantuan am zakat bernilai RM5,100, manakala penduduk Kampung Lipat Kajang, Temerloh pula menerima sebuah van jenazah berharga RM70,000.


Sumber berita : Utusan Online 16/05/09 (www.utusan.com.my)

Thursday, May 7, 2009

Sijil ISO jadi motivasi tingkat perkhidmatan

JERANTUT 6 Mei - Penganugerahan sijil MS ISO 9001:2000 merupakan satu pengiktirafan dan motivasi kepada warga Majlis Daerah Jerantut (MDJ) untuk meningkatkan perkhidmatan seterusnya memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

Yang Dipertuanya, Datuk Ismail Mohd. Ali berkata, anugerah itu juga secara tidak langsung merupakan perakuan pelbagai pihak terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan berkenaan selama ini.

Bagaimanapun katanya, kejayaan MDJ meraih anugerah itu yang juga mencerminkan integriti di kalangan kakitangannya, bukan diperoleh dengan mudah kerana ia menagih kesungguhan yang tinggi daripada semua pihak.

"Anugerah ini menterjemahkan aspirasi kerajaan untuk menjadikan perkhidmatan awam lebih cekap, efisien menerusi peningkatan kualiti kerja bagi memenuhi kehendak awam," katanya di sini hari ini.

Menurut Ismail, untuk memastikan MDJ mendapat pengiktirafan tersebut, pihaknya telah memastikan semua kerja yang dilaksanakan, termasuk dari segi audit dibuat mengikut garis panduan dan standard ditetapkan.

Beliau mengakui, usaha tersebut bukan mudah kerana ia menuntut komitmen yang tinggi daripada semua kakitangan dalam kerangka mempersiapkan MDJ sebagai sebuah agensi bertaraf dunia.

"Tugas yang digalas merupakan cabaran dan tanggungjawab utama yang perlu dilaksanakan untuk menzahirkan perkhidmatan terbaik agensi ini kepada pelanggan selaras dengan kemajuan global," katanya.

Ismail berkata, sesuai dengan pengiktirafan yang diterima maka MDJ akan melakukan banyak perubahan dalam gerak kerjanya pada masa hadapan bagi memenuhi aspirasi pelanggannya.

Langkah itu katanya, untuk memastikan penganugerahan sijil itu benar-benar memberi impak kepada gerak kerja MDJ sebagai pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab mentadbir daerah ini.

Sumber berita : utusan online 07/05/09 (www.utusan.com.my)

Monday, April 20, 2009

Kesabaran Yong berbaloi


IMPIAN Yong Azua yang ditulis pada sekeping kertas dan dilekatkan di dinding biliknya di Kuarters JKR, Jerantut, Pahang.




YONG AZUA memeluk ibu kesayangan, Rosni Abdullah.



HATI ibu mana yang tidak sejuk melihat anak yang dikandungnya selama sembilan bulan 10 hari kini membesar sihat dan berjaya dalam kehidupan.

Itulah gambaran awal yang diberi oleh Rosni Abdullah, 43, tatkala bercerita tentang anak keduanya, Yong Azua Mat, 23.

Yong merupakan satu-satunya anak Rosni (setakat hari ini) yang berjaya menjejak kaki ke menara gading. Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Melaka yang menyaksikan kecekalan dan kesabaran anak gadisnya menjalani kehidupan kampus yang begitu mencabar bagi orang miskin sepertinya.

Namun hari ini, kesemua pengorbanan tersebut berbaloi apabila segala penat lelah dan kepayahan Yong mengharungi kehidupan kampus yang memeritkan berbalas juga akhirnya.

Pada hari ini, Yong memulakan hari pertama sebagai eksekutif perakaunan di Touch Matrix Sdn. Bhd., Kuantan, Pahang manakala pada Jun ini pula, Yong akan naik ke pentas untuk menerima segulung Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kewangan UiTM.

"Insya-Allah, saya akan datang ke majlis konvokesyen Yong. Masa dia (Yong) terima diploma dahulu, saya tak datang sebab tak cukup duit,'' dedah Rosni yang ceria tatkala bercerita tentang anak keduanya itu.

Yong ketika diajak berkongsi kisah kemiskinan keluarga pada mulanya agak berat mulut untuk bercerita.

"Tak apalah...dah keluar dalam Kosmo!...dalam TV,'' katanya.

Namun setelah dipujuk, barulah Yong rancak bercerita.

"Sepanjang di kampus, saya tidak pernah bercerita dengan kawan-kawan tentang kehidupan di kampung. Saya malu..., Lebih baik mereka (kawan-kawan) tak tahu. Kalau tahu...banyak pula yang akan menyoal itu dan ini,'' kata Yong.

Berikutan kesempitan hidup, Yong lebih banyak menghabiskan masa di bilik asrama untuk mengulang kaji pelajaran dan melayari Internet bagi menambah pengetahuan berkaitan bidang pengajiannya.

Apa cerita yang paling tak dapat dilupakan ketika di kampus?

"Banyak...tapi paling tak boleh saya lupa adalah ketika saya terpaksa ikat perut untuk menjimatkan belanja.

"Di kampus, makan Maggie memang biasa. Tetapi saya terpaksa kerat empat sebungkus Maggie dan makan satu bahagian sahaja. Yang lain simpan untuk hari esok. Kalau lapar, makan biskut kering sahaja,'' ceritanya tanpa berselindung.

Begitu juga dalam bab menyediakan yuran pendaftaran sebagai pelajar baru sebanyak RM1,200.

"Itu juga sukar dilupakan dan membuatkan saya hampir-hampir putus asa. Mana nak cari duit sebanyak itu, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) baru nak mohon. Terpaksalah minta ayah sediakan juga dan pinjam daripada kawan-kawan,'' katanya yang terpaksa menebalkan muka untuk meminjam wang tersebut.

Berkat kesabaran dan kesungguhan Yong mengikuti pengajian, dia bukan sekadar lulus biasa tetapi muncul sebagai pelajar cemerlang dan pernah dua kali menerima Anugerah Dekan kerana cemerlang dalam peperiksaan semester.

"Alhamdulillah, saya sudahpun dapat kerja. Ada empat impian yang akan saya tunaikan iaitu bantu adik-adik belajar, kumpul duit untuk beli rumah ibu dan ayah, beli kereta dan hantar ibu bapa ke tanah suci Mekah. Semua itu, saya buat untuk keluarga. Tentang diri saya, ...nantilah dulu,'' ujarnya mengakhiri perbualan.

Pada satu perkembangan lain, Setiausaha Jawatankuasa Kerja (JKK) Kampung Sepial, Jerantut, Pahang, Halimi Musa berkata, pihaknya mahu membetulkan fakta bahawa kampung tempat tinggal Rosni bukanlah Kampung Sepial.

Menurutnya, Rosni tinggal di Kuala Tembeling yang berdekatan dengan Kampung Sepial. "Sebab itulah, saya tidak tahu tentang kehidupan beliau sekeluarga yang begitu miskin sehingga terpaksa berpindah ke dalam hutan.

"Ini kerana, selaku Setiausaha JKK Kampung Sepial, saya sentiasa mengemas kini data dan profil penduduk kampung termasuk keluarga miskin, ibu tunggal dan anak-anak yatim dari semasa ke semasa untuk diserahkan kepada Penghulu bagi tindakan lanjut.

"Statistik terkini menunjukkan terdapat 12 ibu tunggal dan tiga anak-anak yatim di Kampung Sepial. Jumlah itu tidak termasuk keluarga Rosni kerana dia tidak tinggal di kampung kami,'' ujarnya membetulkan kenyataan yang disiarkan oleh media bahawa Rosni tinggal di Kampung Sepial sebelum berpindah ke dalam hutan.

Menjelaskan perkara tersebut, Halimi berkata, laporan akhbar Kosmo! bertarikh 2 Mac 2009 di muka hadapan yang menyebut bahawa Rosni tinggal di Kampung Sepial telah mendorongnya keluar mencari ibu tunggal itu.

"Bila baca Kosmo!, saya terkejut kerana setahu saya, tidak ada ibu tunggal bernama Rosni menetap di Kampung Sepial. Sungguhpun begitu, saya tetap mencarinya atas dasar kemanusiaan,'' ujarnya.

Menurutnya, pencarian itu menemukannya dengan Rosni di pondok yang didirikan di tanah milik KTMB di dalam hutan tersebut.

"Apabila diperiksa, tanah itu terletak di dalam kawasan Mela, Kuala Lipis dan bukan lagi daerah Jerantut seperti yang dilaporkan. Apabila ini berlaku, saya terpaksa merujuk kes beliau ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lipis,'' jelasnya.

Mengulas kelewatan bantuan kewangan sebanyak RM450 sebulan yang sepatutnya diterima Rosni pada awal bulan ini, Halimi berkata, ia mungkin berlaku kerana pejabat JKM di Kuala Lipis perlu memindahkan fail Rosni ke pejabat JKM Jerantut.

"Memandangkan Rosni kini tinggal di Kuarters JKR, Batu 1, Jerantut, maka segala urusan pembayaran akan diuruskan oleh JKM Jerantut. Mungkin sebab itulah, beliau masih belum menerima bantuan tersebut,'' ujarnya.

Halimi mengakui memang terdapat beberapa keluarga miskin di kampungnya tetapi tidaklah semiskin keluarga Rosni.

"Kemiskinan Rosni adalah kerana suaminya tidak mempunyai pekerjaan tetap, selain mempunyai anak yang ramai. Saya difahamkan, beliau hanya memelihara anak bongsunya di rumah ibunya di Felda Sungai Tekam Utara manakala anak-anak lain dijaga oleh bekas suami. Sebab itulah, beliau hanya layak menerima bantuan JKM sebanyak RM70 sebulan kerana hanya menjaga seorang anak.

"Tetapi memandangkan kini, kesemua anak-anaknya di bawah jagaannya di Kuarters JKR Jerantut, maka JKM telah meluluskan bantuan kewangan sebanyak RM450 sebulan,'' katanya yang berharap Rosni bersabar menunggu bantuan yang telah dijanjikan. - ROHANA MAN



Sumber Berita & Gambar : Kosmo Online 20/04/09 (www.kosmo.com.my)



IZZI ADVERTIZING-----------------------------------------

Friday, April 10, 2009

Harimau, gajah kian berkurangan di Taman Negara

JERANTUT 10 April - Kegiatan pemburu haram dan gangguan terhadap habitat harimau dan gajah merupakan antara punca haiwan berkenaan semakin berkurangan terutama di Taman Negara, Kuala Tahan dekat sini.

Pegawai Pertubuhan Perlindungan Hidupan Liar (WCS), Azima Azmi berkata, mengikut kajian WCS, terdapat sebanyak 500 ekor harimau yang dikenali sebagai spesies harimau Malaya dan 631 ekor gajah di hutan Taman Negara, Kuala Tahan.

''Kami telah mempergiatkan usaha melindungi harimau dan gajah di hutan Taman Negara dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)," katanya kepada pemberita ketika mengadakan kempen perlindungan harimau dan gajah di Kampung Pagi, dekat sini hari ini.

Azima memberitahu, kempen itu dijalankan sebagai usaha WCS dan Perhilitan bagi membolehkan populasi spesies terancam seperti harimau dan gajah dapat dipertingkatkan.

Sehubungan itu, katanya penduduk perlu diberi kesedaran mengenai perlindungan hidupan liar termasuk pengharaman kegiatan pemburuan dengan menguatkuasakan lagi undang-undang.

Menurut beliau, pemburu haram memusnahkan hidupan liar di Taman Negara untuk tujuan komersial iaitu perubatan dan barang perhiasan.

''Kegiatan memburu untuk tujuan komersial juga menyebabkan ketidakseimbangan ekologi apabila harimau semakin sukar mendapat makanan," katanya

Selain Taman Negara, Kuala Tahan, Azima berkata, WCS juga menjalankan kempen ke Taman Negara Endau-Rompin, Pahang dan Hutan Belum di Perak.

Beliau menambah, seluas 40,000 hektar kawasan di Semenanjung berpotensi untuk dijadikan pusat perlindungan dan konservasi harimau dan gajah.

Selain itu, tambahnya, sehingga kini hanya terdapat 3,000 hingga 5,000 ekor harimau di seluruh dunia selepas mengalami kepupusan akibat pemburuan haram dan pemusnahan habitat akibat pembangunan.



Sumber berita : Utusan Online 11/04/2009 (www.utusan.com.my)