Friday, May 29, 2009

Belia diminta manfaat program anjuran KBS

JERANTUT 29 Mei – Golongan belia diminta memanfaatkan program di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memperkasa pengurusan organisasi termasuk kepimpinan belia pada masa akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, belia di semua peringkat merupakan aset bernilai untuk mencorakkan hala tuju pembangunan dan daya saing negara di peringkat global.

Beliau berkata, taraf pendidikan belia yang kini berbeza, memerlukan satu pendekatan lebih proaktif dan interaktif bagi menarik minat mereka terhadap berpersatuan, kepimpinan serta dasar pembangunan belia.

“Kerajaan menggunakan pelbagai kaedah menerusi program tertentu dalam usaha mendekati dan menarik minat kelompok muda untuk membimbing dan memperkasakan jati diri mereka,” katanya berucap di majlis penutupan Kursus Personaliti Belia, Kursus Intervensi Gejala Sosial dan Kursus Pemimpin Muda, di Kuala Tahan dekat sini semalam.

Kursus anjuran Pejabat Belia dan Sukan Jerantut (PBSJ) itu disertai oleh seramai 105 orang belia dan 48 orang beliawanis mewakili pelbagai pertubuhan belia di daerah ini.

Menurut Wan Amizan, bimbingan berterusan amat penting untuk membantu belia supaya lebih berdaya saing, berwawasan dan mempunyai pengetahuan mendalam mengenai pentadbiran kerajaan dan dasar pembangunan negara hari ini.

“Maka itu, program yang digagaskan oleh KBS ini boleh menyedarkan belia tentang tanggungjawab yang perlu mereka galas selaku bakal pemimpin dalam keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.


Sumber : Utusan Online 30/05/09 (www.utusan.com.my)

Friday, May 15, 2009

Bank Rakyat, BSN serah zakat perniagaan lebih RM1.36 juta

JERANTUT 15 Mei - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2008 berjumlah RM1,369,561 kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di sini kelmarin.

Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Datuk Zainuddin Abdul Rahman menyerahkan replika cek berjumlah RM1,269,561 kepada Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, sementara Pengurus BSN negeri, Badli Hamsan pula menyerahkan replika cek berjumlah RM100,000.

Majlis penyerahan zakat itu turut hadiri oleh Pengurus Besar Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang, Halidan Md. Daud; Pegawai Agama Islam Jerantut, Ahmad Nizam Abdul Manan dan Pegawai Agama Islam Raub, Khairul Amran Abd Jalil.

Menurut Wan Abdul Wahid, pada tahun lalu kutipan zakat yang diperolehi oleh PKZ Pahang ialah sebanyak RM57 juta meliputi zakat harta sebanyak RM51 juta dan zakat fitrah RM6 juta.

"Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM12 juta adalah perolehan zakat yang dikeluarkan oleh badan korporat termasuklah sektor perbankan yang ada di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan dan Agihan Zakat di sini.

Wan Abdul Wahid berkata, dalam usaha memperkemaskan kutipan zakat, MUIP menubuhkan Unit Kutipan Zakat bagi membolehkan pembayaran zakat dilakukan secara lebih sistematik dan mengikut ketetapan serta peraturan yang telah digariskan.

Selain itu katanya, MUIP juga menyusun pelan strategi tindakan jangka panjang, termasuk menambah kakitangan yang kini berjumlah 79 orang, dalam usaha memantap dan meningkatkan kualiti pengurusan serta perkhidmatan yang ditawarkan kepada masyarakat.

Sempena majlis itu, Wan Abdul Wahid turut menyaksikan penyerahan zakat kepada surau Kampung Paya Petai Jerantut berjumlah RM60,000 dan surau Sekolah Menengah Kebangsaan Orang Kaya Haji, Lipis sebanyak RM58,000.

Turut menerima sumbangan zakat, iaitu Persatuan Pengasih Malaysia sebanyak RM19,000, Persatuan Orang Cacat Penglihatan (RM15,000) dan Sekolah Menengah Agama Chat, Budu, Lipis (RM20,000).

Bantuan zakat bulanan untuk golongan fakir bernilai RM3,500 turut disumbangkan kepada 14 orang asnaf, sementara 17 lagi penerima menerima bantuan am zakat bernilai RM5,100, manakala penduduk Kampung Lipat Kajang, Temerloh pula menerima sebuah van jenazah berharga RM70,000.


Sumber berita : Utusan Online 16/05/09 (www.utusan.com.my)

Thursday, May 7, 2009

Sijil ISO jadi motivasi tingkat perkhidmatan

JERANTUT 6 Mei - Penganugerahan sijil MS ISO 9001:2000 merupakan satu pengiktirafan dan motivasi kepada warga Majlis Daerah Jerantut (MDJ) untuk meningkatkan perkhidmatan seterusnya memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

Yang Dipertuanya, Datuk Ismail Mohd. Ali berkata, anugerah itu juga secara tidak langsung merupakan perakuan pelbagai pihak terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan berkenaan selama ini.

Bagaimanapun katanya, kejayaan MDJ meraih anugerah itu yang juga mencerminkan integriti di kalangan kakitangannya, bukan diperoleh dengan mudah kerana ia menagih kesungguhan yang tinggi daripada semua pihak.

"Anugerah ini menterjemahkan aspirasi kerajaan untuk menjadikan perkhidmatan awam lebih cekap, efisien menerusi peningkatan kualiti kerja bagi memenuhi kehendak awam," katanya di sini hari ini.

Menurut Ismail, untuk memastikan MDJ mendapat pengiktirafan tersebut, pihaknya telah memastikan semua kerja yang dilaksanakan, termasuk dari segi audit dibuat mengikut garis panduan dan standard ditetapkan.

Beliau mengakui, usaha tersebut bukan mudah kerana ia menuntut komitmen yang tinggi daripada semua kakitangan dalam kerangka mempersiapkan MDJ sebagai sebuah agensi bertaraf dunia.

"Tugas yang digalas merupakan cabaran dan tanggungjawab utama yang perlu dilaksanakan untuk menzahirkan perkhidmatan terbaik agensi ini kepada pelanggan selaras dengan kemajuan global," katanya.

Ismail berkata, sesuai dengan pengiktirafan yang diterima maka MDJ akan melakukan banyak perubahan dalam gerak kerjanya pada masa hadapan bagi memenuhi aspirasi pelanggannya.

Langkah itu katanya, untuk memastikan penganugerahan sijil itu benar-benar memberi impak kepada gerak kerja MDJ sebagai pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab mentadbir daerah ini.

Sumber berita : utusan online 07/05/09 (www.utusan.com.my)