Showing posts with label Tokoh dan Negarawan. Show all posts
Showing posts with label Tokoh dan Negarawan. Show all posts

Tuesday, September 2, 2008

Negarawan : AHMAD BIN KOTOT

Tiba-tiba aku teringat nama Ahmad Bin Kotot. mengikut sumber, beliau adalah penulis,dan wartawan(authors, journalists and writers). Aku cuba cari gambar beliau di internet tapi tak jumpa.

Nama Ahmad bin Kotot memang tak asing bagi aku secara peribadi kerana beliau tinggal di daerah Jerantut. Beliau kalau tak salah aku tinggal di Kampung Som atau Kampung Bharu. Aku dan kawan-kawan mengenali beliau kerana kami sering terserempak dan berbual-bual dengan beliau semasa sedang menunggu bas. Aku pada masa itu masih belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Damak, Jerantut. Pekan Damak adalah tumpuan utama bagi penduduk di mukim Ulu Cheka kerana berada di persimpangan dalam antara Benta ke Jerantut dan persimpangan ke Ulu Cheka yang agak pedalaman.

dalam usia yang lanjut pada masa itu, dengan bersongkok hitam dan sering membawa plastik yang sering dipegangnya, beliau amat sederhana. Beliau amat suka bercerita dan berjenaka. Beliau tak pernah lokek dengan senyuman. dan kami senang mendengan cerita beliau sementara menunggu bas kami atau bas beliau sampai dahulu.

Semasa berbual, beliau seorang yang tak lokek bercerita. cerita-cerita beliau berkarya, cerita beliau melarikan diri dari jepun, Inggeris dan komunis selalu beliau ceritakan pada kami. Yang nyata kami sering tertunggu-tunggu kelibat beliau datang kerana seronok mendengar ceritanya sambil-sambil menunggu bas dan yang paling seronok beliau tidak lokek memberi wang kepada sesiapa antara kami yang berjaya menjawab teka-teki beliau atau mengingat semula perkara-perkara yang pernah diceritakan sebelumnya. Aku juga pernah menerima hadiah itu kerana teka-tekinya biasanya sama setiap kali seperti apakah nama singkatannya. Jawapan ialah "ABK".

Aku masih ingat beliau pernah bercerita tentang asal usul nama "JERANTUT". Ia berasal dari perkataan "JERAM" ke "TUT", namun aku sudah lupa dimanakah letaknya Jeram dan Tut itu.

Secara peribadi aku tidak pernah membaca tulisan-tulisannya yang masyur seperti "Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan" yang diterbitkan pada tahun 1927, dan diterbitkan semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)pada tahun 1975. Jika ada yang berminat ingin mengetahui ulasan pakar mengenai cerita ini boleh melihat usalan tersebut di sini.

Khabarnya muzium tokoh-tokoh negeri Pahang yang bertempat di Kuantan, Pahang ada mengabadikan riwayat hidup dan sumbangan besar beliau kepada negara. Insyaalah, jika diberi kesempatan oleh Allah nanti, aku akan bawa keluarga aku melawatnya.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Allahyarham Ahmad bin Kotot yang berjasa besar dalam membantu pemikiran orang Melayu dan mengembangkan semangat nasionalisme melalui tulisan-tulisannya. AL-FATIHAH!

Sumber :-
1) http://www.pahang-delights.com/pahang-heroes-museum.html

2) http://books.google.com/books?id=SCLRcnBpGbEC&pg=PA299&lpg=PA299&dq=ahmad+bin+kotot&source=web&ots=E3WRZT1lKx&sig=JqhHA8Om8Vs2RAW9bMHUUDBeDw0&hl=en&sa=X&oi=book_result&resnum=3&ct=result#PPP6,M1

3) http://repository.kulib.kyoto-u.ac.jp/dspace/bitstream/2433/56606/1/KJ00000131950.pdf

Monday, September 1, 2008

Hayati semangat perjuangan Mat Kilau - Dipetik dari www.sinarharian.com.my

PULAU TAWAR - Sebanyak 34 buah kereta dan sebuah bas terdiri daripada 49 kakitangan dan ahli keluarga bersama 40 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Gelanggi 2 menyertai Program Jejak Mat Kilau sempena sambutan kemerdekaan ke-51, baru-baru ini.

Konvoi yang diketuai oleh pengetua sekolah berkenaan, Dr Azman Uzir merupakan anjuran SMK Kota Gelanggi 2 dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kedondong Pulau Tawar.

Dr. Azman berkata, program yang diadakan ini merupakan satu kelainan yang cuba ditampilkan menerusi sambutan kemerdekaan kali ini, selain mengibarkan Jalur Gemilang di sekolah.

Menurutnya, kurikulum di sekolah ada menyentuh perihal sejarah kepahlawanan Mat Kilau, dan program ini dilihat amat bertepatan untuk memberi pendedahan kepada pelajar secara langsung mengenai aspek sejarah tokoh pahlawan itu.

“Bukan itu sahaja, lawatan jejak Mat Kilau yang diadakan ini juga pada dasarnya adalah untuk melihat sendiri dan mengungkap sejarah dari dekat bagi menghayati semangat yang ditunjukkan Mat Kilau dahulu.

“Seterusnya, hasil lawatan itu juga, persepakatan pihak sekolah juga memutuskan untuk menamakan dewan sekolah yang ada kini dengan nama tokoh pahlawan itu,” katanya ketika ditemui di Makam Mat Kilau.

Dr. Azman berkata, lawatan bersejarah ini juga diadakan untuk mengeratkan hubungan silaturahim seluruh warga sekolah yang terlibat bagi menghayati kemerdekaan negara pada kali ini.

Menurutnya, program yang diadakan itu memberi pendedahan kepada semua yang terlibat dan juga masyarakat luar amnya, bahawa sejarah amat penting kepada pembentukan sesebuah negara bangsa.

“Dengan pendedahan begini, secara langsungnya memberi pendedahan bahawa sejarah yang ditinggalkan melalui perjuangan terdahulu merupakan suatu usaha yang sangat perlu dihargai dan dijaga dengan baik bagi meneruskan kesinambungan nikmat yang dikecapi kini untuk generasi akan datang pula,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Kedondong Pulau Tawar, Mohd Ali Abdul Rahman pula berkata, pihak pengurusan JKKK menyambut baik usaha pihak sekolah mengadakan lawatan ke Makam Mat Kilau itu.

Menurutnya, usaha begini wajar dicontohi kerana generasi muda kini sememangnya harus didedah dan didekatkan dengan sejarah supaya mereka mengetahui asal kejadian sesebuah negara.

“Dengan ini, pastinya semangat kemerdekaan sedikit sebanyak dapat dirasai oleh generasi baru yang rata-ratanya anak merdeka untuk lebih menghargai perjuangan generasi terdahulu.

“Secara tidak langsung, pembelajaran melalui kurikulum di sekolah dengan pengamatan dari dekat elemen sejarah ini, dilihat suatu usaha bertepatan dalam membentuk jati diri bagi menghargai jasa terdahulu dan semangat cintakan negara,” katanya.

Antara lokasi lawatan yang disinggahi oleh peserta adalah tapak asal rumah Mat Kilau, Makam Mat Kilau, masjid yang disinggahi oleh beliau dan turut diadakan bacaan tahlil dan Yasin untuk pahlawan terbilang itu.

Sumber Berita & Gambar : Sinar Harian Online

Nota Kaki :
Teringin benar nak menjenguk makam Mat Kilau. Jasa beliau terhadap penentangan kepada penjajah British sangat mengkagumkan.