Monday, January 5, 2009

8000 penduduk Tembeling terputus hubungan

JERANTUT 5 Jan. - Kira-kira 8,000 penduduk dari lima kampung di Hulu Tembeling masih terputus hubungan berikutan air Sungai Tembeling yang deras dan membahayakan pengangkutan bot penambang akibat hujan lebat kelmarin.

Lima perkampungan tersebut iaitu Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantai, Kampung Gusai dan Kampung Mat Daling hanya boleh dihubungi dengan menggunakan bot penambang.

Tinjauan Utusan Malaysia di sini mendapati, banjir mulai surut hari ini namun arus deras di Sungai Tembeling, Sungai Pahang dan Sungai Jelai masih membahayakan pengangkutan bot penambang.

Banjir yang menenggelami Kampung Paya Garok dan Kampung Orang Asli Paya Lintah masih belum surut menyebabkan seramai 250 orang penduduk termasuk 50 keluarga Orang Asli masih terkandas untuk berurusan ke bandar Jerantut.

Seorang penduduk Kampung Paya Garok, Mohd. Zaini Hom, 42, berkata, keadaan jalan masuk ke kampungnya masih ditenggelami air sedalam hampir semeter menyebabkan penduduk sukar untuk ke bandar Jerantut.

"Hanya kenderaan berat boleh melalui jalan itu namun ada penduduk menggunakan motosikal meredah air untuk pergi bekerja di kilang berdekatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rakannya, Mohd. Ali Mat Noor, 50, pula berkata, dia terpaksa meredah banjir untuk menghantar anaknya ke sekolah bagi memulakan sesi persekolahan hari ini.

Sementara itu, pengusaha bot ke Taman Negara Kuala Tahan, Abdullah Salleh, 52, berkata, pihaknya terpaksa menghentikan operasi ke Hulu Tembeling berikutan arus deras di Sungai Tembeling.

"Kita tidak mahu mengambil risiko menjalankan operasi kerana arus Sungai Tembeling dan ombak di jeram berbatu yang dikhuatiri membahayakan penumpang," katanya.

Dia berkata, pihaknya sentiasa menurut arahan pihak berkuasa setiap kali musim banjir dan akan memulakan operasi bot penambang apabila keadaan pulih sepenuhnya.

Dalam pada itu, di Kuala Lipis, seramai 114 orang mangsa banjir daripada 36 keluarga di Hulu Jelai yang ditempatkan pusat pemindahan di Kuala Medang, Kuala Serau, Tanjong Gahai dan Bertang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.

Penghulu Mukim Hulu Jelai, Mohd. Razaki Abdul Razak berkata, mangsa dibenar pulang untuk membersihkan rumah masing-masing dan mempercepatkan urusan persekolahan anak-anak.

"Cuma 41 orang daripada sembilan keluarga masih di pusat pemindahan Bukit Betong kerana kawasan rumah mereka masih ditenggelami air," katanya.

Mohd. Razaki memberitahu, walaupun air Sungai Jelai beransur surut, pihak berkuasa masih memantau keadaan kerana cuaca tidak menentu dan banjir dikhuatiri berulang apabila hujan di sebelah hulu sungai.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Jelai, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengagihkan bantuan makanan kepada mangsa di pusat-pusat pemindahan.

"Kita sedang menimbang bantuan peralatan sekolah anak-anak jika berlaku kerosakan dan ditenggelami air semasa mereka berpindah," katanya.

Sumber : Utusan Online 06/01/2009