Tuesday, November 11, 2008

93 pengusaha bot dapat bantuan Fleetcard petrol

Oleh HARIS FADILAH AHMAD




WAN AMIZAN Wan Abdul Razak (empat dari kanan) bersama sebahagian daripada pengusaha bot yang menerima kupon subsidi (fleetcard) petrol di Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut, kelmarin.



JERANTUT 10 Nov. - Seramai 93 orang pengusaha bot penambang di Taman Negara Kuala Tahan dan Hulu Tembeling dekat sini lega apabila memperoleh kupon subsidi (fleetcard) petrol yang dapat mengurangkan beban mereka.

Dengan memperoleh fleetcard itu, penantian mereka sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu berakhir.

Baru-baru ini, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerahkan kupon subsidi (fleetcard) kepada mereka.

Majlis perasmian dan penyerahan kupon subsidi petrol berkenaan dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak di Woodland Resort, Taman Negara Kuala Tahan dekat sini, semalam.

Hadir sama Pegawai Daerah Jerantut, Ismail Mohd. Ali dan Pengarah KPDNHEP Pahang, Abu Samah Shahbuddin.

Dengan kupon tersebut, pengusaha berkenaan boleh menggunakannya untuk membeli bahan api dengan kadar RM1.93 seliter di stesen minyak terpilih dan mereka diperuntukkan pembelian sebanyak 510 seliter sebulan.

Penyerahan subsidi bahan api itu merupakan projek perintis untuk pengusaha bot penambang di Semenanjung.

Sebelum ini, kerajaan hanya mengeluarkan subsidi minyak diesel untuk 17 jenis kenderaan darat dan bot nelayan pantai.

Kebanyakan pengusaha bot penambang Sungai Tembeling dan Sungai Tahan berkenaan terdiri daripada penduduk Kuala Tahan, Kampung Pagi, Kuala Sat, Bantai, Gusai dan Mat Daling.

Pengerusi Pengusaha Bot Penambang Kuala Tahan, Abdullah Salleh, 52, berkata, pengusaha bot Taman Negara bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan dan wakil rakyat yang merealisasikan janji yang dibuat sebelum pilihan raya lalu untuk memberi subsidi petrol.

''Kemudahan ini memberi keselesaan kepada kami untuk meneruskan perkhidmatan membawa penumpang termasuk pelancong tanpa tekanan dari segi kos bahan api.

''Kita amat menghargai subsidi ini dan menunjukkan kerajaan prihatin dengan masalah kos pengangkutan sungai yang dihadapi penduduk Hulu Tembeling selama ini," katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Tahan baru-baru ini.

Pengusaha bot Kampung Pagi, Zakaria Ramly, 64, berkata, dia menarik nafas lega apabila memperoleh subsidi berkenaan dan kos perkhidmatan semakin berkurangan.

''Ketika petrol melonjak sehingga RM2.70 seliter awal tahun ini, kami amat tertekan untuk membeli bahan api sehingga terpaksa mengeluarkan belanja sebanyak RM400 sehari untuk perjalanan bot ke pedalaman Hulu Tembeling," katanya.

Zakaria yang juga Ketua UMNO Cawangan Kampung Pagi berkata, beban pengusaha kini semakin ringan walaupun mereka perlu mengeluarkan belanja yang tinggi untuk membeli peralatan gantian enjin bot.

Pengusaha bot Kampung Bantai, Abdul Rani Saidi, 50, berkata, menerusi subsidi itu, sektor pelancongan di Taman Negara akan kembali rancak.

''Faktor keselesaan perkhidmatan dan tambang bot penambang di Taman Negara bergantung kepada harga petrol.

''Syukur, masalah yang selama ini membelenggu pengusaha bot telah ditangani dengan bijak oleh wakil rakyat di sini dan dapatlah kami memperoleh pendapatan membantu keluarga," katanya.

Lantaran itu, Abdul Rani berkata, pengusaha bot di sini berjanji untuk menurun kadar tambang bot penambang bagi memberi kemudahan yang lebih selesa kepada pelancong asing dan domestik.

Pemandu bot Kampung Pagi, Ahmad Nipah, 51, berkata, walaupun menanti subsidi bahan api itu agak lama tetapi mereka tetap bersabar dan yakin kerajaan mendengar rintihan golongan itu terhadap peningkatan kos bahan apu yang dialami mereka.

''Kini hasrat kami telah ditunaikan kerajaan dan kami berjanji akan bekerja keras setiap hari untuk membawa pelancong sambil menjana sebahagian ekonomi menerusi sektor pelancongan," katanya.

Beliau menambah, subsidi petrol itu antara usaha kerajaan untuk memulihkan perkhidmatan bot penambang Sungai Tembeling yang menjadi pengangkutan utama dan pendapatan penduduk.


Sumber berita & gambar : Utusan Online 11/10/08 (www.utusan.com.my)


izzi note :
Terima kasih Cikgu Haris Fadilah Ahmad atas berita-berita mengenai daerah Jerantut. Saya menghargai berita-berita ini seperti mana saya menghargai jasa cikgu semasa mengajar saya di Sekolah Kebangsaan Damak dahulu. Hadiah cikgu kepada saya iaitu novel "Dendam berbalas di caruk Putih" masih saya simpan dengan baik sehingga kini.