Wednesday, January 28, 2009

RM40,000 pengurusan benih cili



ASRUL Affendi Amiruddin (tiga dari kanan) memberikan penerangan mengenai semaian benih pokok Cili Kulai Mardi kepada Mohd. Lokman Mohd. Isa (tengah) dan Mohd. Zaimi A. Razak (kanan) sempena lawatan kerja di Felda Sungai Retang, Jerantut, baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------

JERANTUT 28 Jan. - Felda memperuntukkan sebanyak RM40,000 untuk pengurusan dan penyediaan benih pokok Cili Kulai Mardi menerusi projek Edible Garden Felda (EGF) di empat buah tanah rancangan tahun ini.

Pegawai Pertanian Felda Wilayah, Asrul Affendi Amiruddin berkata, empat buah tanah rancangan terbabit ialah Felda Sungai Retang membabitkan 500 orang peneroka, Felda Kota Gelanggi 3 (366), Felda Jengka 15 (385) dan Felda Jengka 7 (398).

Beliau berkata, setiap kawasan rancangan telah diperuntukkan sebanyak RM10,000 untuk kerja-kerja penjagaan pokok cili, peralatan dan pengurusan bermula akhir tahun lalu.

"Sebanyak 34,000 benih pokok Cili Kulai Mardi yang masih di tapak semaian akan turut diagihkan kepada peneroka di empat buah rancangan Felda terbabit.

"Di Felda Sungai Retang sahaja, sebanyak 10,000 buah polibeg benih cili akan diagihkan kepada seramai 500 orang peneroka," katanya selepas melawat tapak semaian pokok Cili Kulai Mardi, di Felda Sungai Retang, di sini kelmarin.

Hadir sama ialah Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Wilayah Timur, Mohd Zaimi A.Razak; Pegawai FAMA daerah Jerantut, Mohd. Lokman Mohd. Isa, dan Pengurus Felda Sungai Retang, Shamsuddin Abu Samah.

Menurut Asrul Affendi lagi, selain benih pokok, peneroka turut diberi bantuan baja kompos dan bimbingan penjagaan pokok untuk meningkatkan hasil bagi memenuhi kehendak pasaran yang semakin meningkat.

Beliau berkata, di bawah projek itu peneroka dijangka memperoleh hasil pertama Mac ini yang akan dipasarkan menerusi FAMA.


Sumber berita & gambar : Utusan Online 29/01/2009