Sunday, August 14, 2011

Ramadhan Di Jerantut

ingat hati nak balik berpuasa dengan keluarga di Batu Balai minggu lepas, tapi urusan mendesak banyak sangat. entahlah, kalau dapat hujung ramadhan nanti dapatlah berpuasa di kampung.

even di klang ni macam2 ada, tapi suasananya tak sama macam dikampung. juadah berbuka juga lain. ye lah, aku tekak campuran pahang dan pantai timur, manakan daya hari2 makan makanan jawa. pusing2 bazar ramadhan, teringat kemeriahan bazar ramadhan di jerantut. rindu nak makan murtabak saufi batu balai. even agak mahal, tapi memang berbaloi beli dan makan. murtabak kat area sini bukan takde, melambak dan murah gile dalam rm2.00 ke rm3.00 sebiji, tapi setakat makan kobis dan ubi kentang je la.

kuih2 pulak aku paling suka agar-agar, dapat yg plain pun cukup. tapi kalau dapat puding lagi best. terbayang kuih biji nangka, buah melaka, puteri mandi. pergh.... sedapny!

kalau lauk pauk tu aku akan cari ikan atau ayam percik. sini ikan atau ayam percik memang ada, tapi pelik sikit.... warna merah. biasanya aku suka yang kuah perciknya putih. yummy!

rindu jugak dengan masakan mak aku. kuih telur, kurma goreng celur tepung yang mak aku masak tak pernah aku dapat sesedap itu. kurma goreng tepung tu memang tak pernah ada la kat bazar ramadhan, malah ramai kawan2 aku ygpelik bila aku cakap aku suka makan kurma goreng.

oklah, cerita banyak pasal makan ni buat air liur aku kecur je. even dah berbelas tahun aku di luar jerantut, tapi jerantut tetap dihati.

Tuesday, January 4, 2011

Burger Tandas

bunyi macam benda kotor dan memang geli geleman nak makan, tapi sebenarnya burger tandas adalah antara burger yang paling sedap yang pernah aku makan. dan aku makan sampai sekarang jika balik kampung ke jerantut, pahang.

sempena kakak aku kahwin 25/12/2010 baru2 ni, aku balik kampung di batu balai, jerantut membantu ayah melancarkan majlis. dikeluangan masa, aku bawa keluarga aku ke bandar jerantut utk beli sedikit kelengkapan rumah dan sekolah anak aku yang ada sedikit yg belum sempat dibeli. beli kat jerantut ni jauh benar murahnya. ada pasaraya tf, ada pasarayaku, ada pasaraya aktif, big ten dan pelbagai kedai yang jauh lebih murah dan berkualiti dari barangan sama di selangor.

jerantut, even terperuk dipedalaman dan lebih dikenali seluruh dunia kerana hutan banat, ianya suatu tempat yang istimewa. ye lah, orang luar kenal jerantut sebagai kawasan hutan rimba taman negara, aku mengenalinya sebagai tempat yang damai.

cukup pasal hutan rimba tu. aku nak cerita pasal burger tandas.

burger tandas ni aku gelarkan untuk burger yang dijual oleh pakcik sulong. aku makan burger pakcik sulong ni sejak aku zaman sekolah lagi. dah berpuluh tahun dah, pakcik sulong ni meniaga burger di bandar jerantut. masa dulu gerai burger dia betul2 sebelah tandas awam ditepi stesen bas jerantut. kalau aku keluar bandar (aku duduk kampung), atau aku keluar bandar hari sabtu dari hostel di sekolah menengah padang saujana, aku akan lepak makan burger dia.

masa dulu, burger dia murah dan sedap. kfc mana ada lagi masa tu. dengan harga rm1.00 masa dulu, kenyang sampai ke petang. dulu2, manalah ada duit banyak (sekarangpun masih takde duit banyak). so, sambil2 keluar bandar tu aku dan kawan2 makan burger daging kat gerai pakcik sulong. lagi best, aku order masa nak masuk tandas. lepak jab dalam tandas sambil betulkan pakaian dan rambut sebab nak pergi dating. keluar tandas, biasanya burger dah siap. teror bangat pakcik sulong ni.

dan selepas lebih 15 tahun (atau lebih), aku masih menyukai burger tandas pakcik sulong. beliau kini dah tak buat gerai ditepi tandas lagi. sebab? tandas tu dah dirobohkan dan kini dah jadi kedai repair tivi. pakcik sulong buka gerai di gerai majlis daerah jerantut (mdj)berhadapan jalan masuk ke stesen bas jerantut. ala, dalam 50 meter dari tapak gerai burger dia dulu.

anak2 akupun aku belikan burger tandas tu. kami makan ramai2 dalam kereta. even, anak awal2 dah mintak burger kfc, tapi bila makan burger tandas, mereka turut menyukainya. burger daging ramly, yang dicelup telur memang sedap. even rasa garing diluar, rasa kelembutan daging didalamnya masih terasa.

sesiapa yang ke taman negera melalui bandar jerantut, singgahlah ke stesen bas jerantut. carilah gerai burger pakcik sulong ni. kalau selera korang sama dengan aku, aku yakin korang setuju bahawa burger tandas ni memang sedap.

Thursday, November 25, 2010

Alami kehidupan masyarakat Melayu pedalaman di Kampung Pagi



PELAWAT menaiki rakit buluh di Sungai Tembeling dan meredah Jeram Panjang ketika bercuti di inap desa Kampung Pagi, Jerantut.

--------------------------------------------------------------



JERANTUT 25 Nov. - Orang ramai yang mengunjungi Kampung Pagi, Hulu Tembeling dekat sini berpeluang menikmati pelbagai corak kehidupan masyarakat Melayu pedalaman Pahang yang kaya dengan adat resam yang jarang ditemui di tempat lain.

Kehidupan harian penduduk yang kebanyakannya menjalankan aktiviti menangkap ikan Sungai Tembeling, menoreh getah, mencari umbut, kayu gaharu, madu lebah, buah kepayang, membuat perahu dan sumber hutan lain antara keunikan yang boleh ditemui apabila singgah di kampung berkenaan.

Legasi kehidupan sejak turun-temurun berasaskan aktiviti menangkap ikan di Sungai Tembeling memberi peluang kepada pelancong menikmati sajian makanan berasaskan ikan air tawar berkenaan.

Malah, pelawat juga dibawa memancing dan menjala ikan Sungai Tembeling sekali gus dapat mengenali spesies ikan kelah, ikan jelawat, ikan lawang, ikan patin, ikan baung dan ikan belida.

Pelawat juga berpeluang menikmati hidangan istimewa masakan tradisional Melayu Pahang berasaskan asam rom getah, rom perah dan asam hitam (belimbing) yang dicampur dengan ikan sungai segar.

Malah ikan berkenaan juga disalai secara tradisional untuk dibuat masak lemak cili padi selain dijadikan pais asam tempoyak dimakan bersama masakan lemak umbut bayas dan asam rom perah.

Untuk sampai ke Kampung Pagi, pelawat boleh menaiki bot penambang dengan kadar tambang pakej bernilai RM250 memudiki Sungai Tembeling yang mengambil masa selama 45 minit.

Pelawat juga boleh menggunakan jalan darat bermula dari Kampung Tuit, Kuala Tahan dekat sini dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda selama satu setengah jam untuk tiba ke Kampung Pagi.

Menurut Pengerusi Inap Desa Kampung Pagi, Mi Hamidi Nipah, kampung itu memang sering dilawati pelancong domestik dan asing yang singgah di Taman Negara.

''Kampung Pagi menjadi destinasi kedua pelawat untuk menyelami kehidupan orang Melayu Pahang yang tinggal di pedalaman negeri ini.

''Kita memberi peluang pelawat tinggal bersama penduduk di sini dan merasai sendiri kehidupan harian masyarakat di samping menikmati makanan berasaskan ikan sungai dan herba," katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Mi Hamidi berkata, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) memperuntukkan sebanyak RM180,000 untuk pembinaan dua rumah penginapan pelancong di Kampung Pagi dalam usaha menjadikannya destinasi pelancongan baru berasaskan ekopelancongan.

''Projek yang siap dua tahun lalu telah beroperasi untuk penginapan pelawat merupakan perintis program pelancongan inap desa di Hulu Tembeling," katanya.

Katanya, rumah berbentuk binaan tradisional Melayu Pahang dibahagikan kepada dua bilik untuk lelaki dan wanita yang dilengkapi katil, tandas, ruang tamu dan beranda yang mampu menempatkan 40 orang dalam satu-satu masa.

''Kemudahan ini merangsang pembabitan aktif penduduk khususnya belia di sini menyelenggara projek inap desa dan memperkenalkan perkampungan Melayu Hulu Tembeling di kalangan pelawat luar," katanya.

Mi Hamidi berkata, pelawat juga berpeluang melakukan kegiatan pengembaraan hutan, berakit buluh di Sungai Tembeling, berkelah dan memancing ikan kelah di Hutan Lipur Pengau, menyusuri Jeram Panjang dan memancing di Kuala Kenyam.

Sementara itu, Ketua Kampung Pagi, Zakaria Ramly berkata, projek inap desa tersebut memacu sektor pelancongan di kampung tersebut sekali gus meningkatkan ekonomi penduduk menerusi program riadah dan rekreasi.

''Selain menginap di calet berkenaan, pelawat juga mempunyai pilihan sama ada ingin tinggal bersama 60 keluarga angkat di kampung ini," katanya.

Menurutnya, kedudukan Kampung Pagi yang berdekatan dengan Taman Negara memberi peluang pekerjaan kepada penduduk dalam sektor pelancongan.

Bagi pelawat yang ingin singgah dan bersantai di Kampung Pagi, boleh menghubungi Mi Hamidi menerusi talian 017-9632314 dan Zakaria di talian 014-2926554.

Sumber Berita & Gambar : Utusan Online 26/11/2010 www.utusan.com

Tuesday, October 20, 2009

Kuala Tahan pengeluar nangka madu

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

JERANTUT 20 Okt. - Kuala Tahan dekat sini bakal menjadi pengeluar nangka madu utama di Pahang apabila tanah terbiar seluas 50 hektar di tiga kampung di kawasan itu dimajukan dengan tanaman tersebut.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pahang Tengah, Zaharudin Said berkata, projek tanaman itu akan dilaksanakan oleh PPK Tembeling menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, nangka madu yang bakal diusahakan iaitu daripada klon CJ-USM 2000 (Mastura), CJ3 dan CJ6 ditanam di tanah milik ahli PPK di Kampung Gol, Kampung Padang dan Kampung Lubuk Payung.

''Projek ini menjadi pemangkin kepada pengeluaran makanan komersial di Tembeling dan akan merancakkan sektor pelancongan berasaskan pertanian di Taman Negara," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan dividen kepada ahli PPK Tembeling di Kuala Tahan semalam.

Menurut beliau, pihaknya menyasarkan tempoh selama dua tahun untuk mengutip hasil memandangkan tanah terbiar itu amat sesuai dengan tanaman nangka madu.

Tanaman nangka madu, katanya, berpotensi dimajukan berikutan permintaan yang semakin meningkat.

Jelas beliau, projek berkenaan akan diusahakan sendiri oleh petani manakala PPK Tembeling dengan bantuan kepakaran luar akan memberi bimbingan dari segi pengurusan dan pasaran.

Zaharudin berkata, peserta projek itu juga akan mengadakan perjanjian perladangan kontrak dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) untuk tujuan pasaran.

''Kita juga membenarkan petani memasarkan sendiri nangka madu di kawasan berdekatan Taman Negara untuk memperkenalkan buah ini kepada pelancong yang singgah di sini," katanya.

Tambah beliau, tanaman nangka madu dilihat mampu meningkatkan pendapatan petani selagi mereka bersungguh-sungguh mengusahakannya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah PPK Tembeling, Shahril Daud berkata, projek nangka madu itu dilihat mampu melahirkan lebih ramai usahawan tani di kawasan Tembeling.

''Projek nangka madu merupakan percubaan awal melahirkan usahawan tani terutama di kalangan belia di sini," katanya.

Beliau menambah, penggunaan tanah terbiar secara optimum di samping perubahan sikap petani untuk meneroka pertanian komersial itu dapat mengubah taraf hidup mereka sekali gus menjadikan Tembeling sebagai kawasan pertumbuhan baru berasaskan pertanian dan pelancongan.


Sumber berita : Utusan Online 21/10/09 (www.utusan.com.my)

Thursday, October 1, 2009

Hujan air batu fenomena biasa - Meteorologi


KEROSAKAN utama pada bahagian bumbung ini terjadi pada kebanyakan rumah mangsa ribut hujan batu di Kampung Kekura, Jerantut, kelmarin.

---------------------------------------------------------------


JERANTUT 30 Sept. - Orang ramai diminta tidak panik dengan fenomena hujan air batu yang melanda beberapa kampung di daerah ini kelmarin.

Pengarah Jabatan Meteorologi negeri, Md. Kamsan Hamdan menjelaskan, hujan lebat dan ribut petir disertai air batu itu fenomena biasa dalam musim peralihan monsun.

Beliau berkata, pada peralihan itu, monsun Barat Daya yang berlaku pada September sehingga awal November akan beralih kepada Monsun Timur Laut.

"Monsun peralihan ini akan menyebabkan berlakunya hujan lebat dan ribut petir di sebelah petang yang agak kerap dan disertai angin yang datang dari pelbagai arah pada kelajuan lima hingga 10 knot atau 10 hingga 20 kilometer sejam.

"Ribut petir pula disebabkan berlakunya hujan perolakan yang datangnya dari awan komulus nimbus yang di dalamnya terkandung hujan berkeadaan beku.

"Apabila berada di kedudukan tinggi pada suhu tertentu, ia akan jatuh ke bumi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas mengenai kejadian hujan air batu sebesar penumbuk orang dewasa di beberapa kawasan di daerah ini sehingga merosakkan kira-kira 40 rumah di lima kampung, kelmarin.

Mengulas lanjut, Md. Kamsan menjelaskan, fenomena itu berlaku mungkin disebabkan suhu di udara menyamai suhu kristal ais tersebut menyebabkan ia tidak mencair dan tidak menjadi rintik hujan normal.

Kristal ais, jelasnya, sebenarnya rintik hujan namun ia tidak sempat mencair di udara terutama ketika hujan lebat dan ribut petir.

Tambah beliau, pihaknya meramalkan fenomena hujan lebat berserta ribut petir akan terus berlaku di kawasan pedalaman itu sehingga awal November ini.

"Ribut petir biasanya berlaku di pedalaman Pantai Barat Semenanjung dan agak kurang di Pantai Timur," katanya.

Menurutnya, penduduk di negeri ini perlu bersedia menghadapi peralihan monsun ini kerana fenomena hujan lebat dan ribut petir itu hanya berakhir selepas November ini.


Sumber Berita & Gambar : Utusan Online 01/10/2009 (www.utusan.com.my)

Tuesday, September 1, 2009

Murtabak Saufi

bulan2 puasa ni, terasa rindu pulak dengan suasana berbuka di kampung. apatah lagi dapat berbuka dengan murtabak saufi yang cukup terkenal di bandar jerantut. legasi murtabak saufi ni dah lama, dari aku kecik2 lagi. rumah tokey dia ni iaitu saufi yang lebih sofi di kalangan orang kampung aku di batu balai. rumah dia dan rumah aku lebih kurang 1.5 km. masa aku kecik2 dulu, hari sabtu dan ahad, pagi2 lagi aku akan ke kedai makan dia, nak beli roti canai. memang laku, lambat sikit memang sakit ati la sebab balik kosong. murtabak ni, paling famous amos dia buat pada bulan puasa. tapi sekarang ni, murtabak saufi ni dah dijual setiap kali pasar malam bandar jerantut.



di pasar malam jerantut ni, legasi murtabak dia ni diuruskan oleh anak2 saufi. kesedapan dia masih sama. may be sebab resepi turun temurun. even ramai penjual murtabak di pasar malam atau bazar ramahdan,murtabak saufi tetap jadi pilihan. beratur orang menunggu. even harga rm4.00 sekeping, tapi orang tetap ramai. paling aku suka makan murtabak saufi ini ialah ketebalan murtabak itu sendiri. isinya memang terasa sedap, bukan takat ada isi je. daging atau ayam memang banyak, dan ini menambah kesedapan murtabak dia.

Alhamdulillah, aku dah sempat makan murtabak dia pada bulan puasa ni. pakcik aku dari kampung bawak 6 biji. kebetulan pakcik aku ni nak datang rumah anak menantu dia yg tak jauh dari rumah aku. dia telefon aku pegi makan murtabak. aku makan sikit je lah sebab dah dicampur bawang. aku mana makan bawang. kalau aku beli sendiri, aku dah siap pesan jangan taruk bawang.

so, sapa2 singgah jerantut tu dan berkesempatan ke bazar ramahdan atau pasar malam, cuba2lah rasa MURTABAK SAUFI. tak de signboard, tanya je orang kat situ, majoriti akan tau punya.


IZZI ADVERTIZING----------------------------------------

Saturday, August 22, 2009

Sukarnya memburu kelah

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my


Pemburu ikan kelah terpaksa berkhemah untuk menangkap ikan air tawar di lubuk Sungai Pengau, Hulu Tembeling, Jerantut, baru-baru ini.
-----------------------------------------------------------------------------

JERANTUT 21 Ogos - Menangkap ikan air tawar sebenarnya tidak semudah yang disangkakan apatah lagi ia merupakan spesies liar yang hanya terdapat di tengah- tengah hutan rimba.

Bagi penduduk daerah ini, kegiatan menangkap ikan air tawar sering dilakukan di Sungai Tembeling dan Sungai Pahang kerana kedua-dua sungai tersebut kaya dengan spesies bernilai tinggi.

Memandangkan sebahagian Sungai Tembeling dan Sungai Pahang termasuk di dalam hutan Taman Negara yang merupakan kawasan larangan menangkap ikan, kegiatan itu tertumpu di anak-anak sungai yang terdapat di hutan Hulu Tembeling dekat sini.

Dalam kebanyakan ikan air tawar, kelah menjadi spesies paling popular berbanding ikan air tawar lain kerana keenakan rasanya dalam masakan.

Kelah biasanya diburu di lubuk dan air terjun berbatu yang terletak jauh di dalam hutan dan hanya 'pemburu' yang benar-benar kental mampu menghadapi segala cabaran yang sedia menanti.

Salah sebuah tempat yang menarik dan menjadi habitat ikan kelah di pedalaman Hulu Tembeling ialah di hulu Sungai Pengau.

Di hulu sungai berkenaan terdapat dua habitat ikan kelah, keli dan baung yang berkumpul di Lubuk Kayu Ara dan Lata Pegawai yang terletak sejauh lima jam perjalanan dari Hutan Lipur Sungai Pengau.

Kebiasaannya penduduk Hulu Tembeling memburu ikan kelah di anak sungai sebagai kegiatan masa lapang pada hujung minggu selain bersantai menikmati keindahan hutan sambil mencari buah-buahan hutan seperti taban, perah, bangkong dan berangan.

Pada musim kemarau, ikan kelah dan beberapa spesies lain keluar dari lubuk untuk mencari makanan yang terdiri daripada buah-buahan hutan seperti neram, maris, ara, perah, jambu air dan mata lembu yang gugur di permukaan air sungai.

Ketika itu, beribu-ribu kelah pelbagai saiz berkeliaran di lubuk Sungai Pengau yang menambat hati penggemar ikan air tawar.


Seorang penduduk menunjukkan spesies ikan kelah seberat 10 kilogram yang diperoleh di Sungai Tembeling, Jerantut, baru-baru ini.
-------------------------------------------------------------------------

Tidak hairanlah penggemar ikan air tawar begitu teruja dan sanggup meredah hutan berhari-hari lamanya semata-mata untuk menangkap seberapa banyak spesies berkenaan yang cukup enak dimasak gulai asam tempoyak dan pais ikan.

Meskipun kelah amat enak, namun untuk menangkapnya bukan kerja mudah.

Aktiviti memburu ikan kelah perlu dilakukan bermula pada awal pagi dengan menyusur arus berbatu Sungai Pengau yang dingin airnya.

Pemburu kelah akan membawa joran, jala, anak panah dan penutup muka sebagai peralatan asas menangkap ikan berkenaan.

Perjalanan selama lima jam ke hulu sungai memang memerlukan ketahanan fizikal yang tinggi.

Mengalami kecederaan di kaki akibat terpijak batu tajam dan terserempak dengan binatang buas yang keluar mencari makan merupakan perkara lumrah kepada pemburu kelah.

Tidak cukup dengan berjalan kaki, pemburu kelah terpaksa membuat rakit untuk menyusur di kawasan arus dalam dan memunggah peralatan makanan serta khemah untuk persiapan bermalam di hulu sungai di Hutan Lipur Pengau.

Menurut seorang pencari ikan, Baba Ibrahim, 56, kebiasaan pemburu kelah akan bergerak secara berkumpulan antara lima hingga sepuluh orang bagi tujuan keselamatan.

''Kita membawa makanan secukupnya untuk berkhemah antara dua hingga tiga malam bagi mencari kelah yang banyak di Lubuk Kayu Ara dan Lata Pegawai yang memang cukup dikenali di sini," katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Pengau baru-baru ini.

Menurut Baba, kaedah menangkap kelah mempunyai pelbagai cara seperti menyelam bergilir-gilir ke dasar lubuk dan celah batu untuk menembak haiwan itu dengan panah besi.

''Kaedah lain adalah dengan memancing dan menjala di kawasan tersebut," katanya.

Seorang remaja, Zamrizal Zulkefli, 19, memberitahu, dia biasanya memburu kelah pada hujung minggu bersama rakan-rakan sekampungnya di Sungai Tembeling.

''Kepenatan kami menjelajah hulu Sungai Pengau dan berkhemah berbaloi apabila ada di kalangan kami mendapat kelah," katanya.

Bagaimanapun, Zamrizal menjelaskan, atas dasar memahami peraturan pihak berkuasa, mereka melepaskan semula anak kelah ke lubuk sungai demi pemuliharaan jangka panjang dan mengekalkan ekosistem hutan berkenaan.

Rakannya, Shahradin A. Karim, 43, berkata, kelah, keli dan baung yang ditangkap dijadikan lauk-pauk untuk makanan pada waktu malam sambil bersantai menikmati suasana hutan rimba berkenaan.

''Kegiatan menangkap ikan juga dilakukan pada waktu malam kerana kelah dan beberapa spesies lain kerap keluar mencari makanan di Lubuk Kayu Ara pada waktu itu.

''Biasanya, kami menggunakan lampu suluh dan mengambil sikap berhati-hati kerana bimbang terserempak dengan ular,'' katanya.

Shahradin menjelaskan, kelah yang ditangkap akan disalai serta diagihkan di kalangan rakan untuk dibawa pulang ke rumah bagi hidangan sekeluarga.

Bagi seorang penduduk Kampung Pengau, Ahmad Omar, 42, ekspedisi memburu kelah di hulu Sungai Pengau walaupun bertujuan berseronok dan bersantai tetapi ia perlu dirancang lebih awal untuk mengelakkan berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

Katanya, menangkap ikan air tawar memerlukan kecekalan, kesabaran dan kemahiran kerana pelbagai cabaran dan halangan yang bakal dilalui di tengah-tengah hutan rimba itu.


Sumber berita & gambar : utusan Online 22/08/09 (www.utusan.com.my)