Thursday, October 1, 2009

Hujan air batu fenomena biasa - Meteorologi


KEROSAKAN utama pada bahagian bumbung ini terjadi pada kebanyakan rumah mangsa ribut hujan batu di Kampung Kekura, Jerantut, kelmarin.

---------------------------------------------------------------


JERANTUT 30 Sept. - Orang ramai diminta tidak panik dengan fenomena hujan air batu yang melanda beberapa kampung di daerah ini kelmarin.

Pengarah Jabatan Meteorologi negeri, Md. Kamsan Hamdan menjelaskan, hujan lebat dan ribut petir disertai air batu itu fenomena biasa dalam musim peralihan monsun.

Beliau berkata, pada peralihan itu, monsun Barat Daya yang berlaku pada September sehingga awal November akan beralih kepada Monsun Timur Laut.

"Monsun peralihan ini akan menyebabkan berlakunya hujan lebat dan ribut petir di sebelah petang yang agak kerap dan disertai angin yang datang dari pelbagai arah pada kelajuan lima hingga 10 knot atau 10 hingga 20 kilometer sejam.

"Ribut petir pula disebabkan berlakunya hujan perolakan yang datangnya dari awan komulus nimbus yang di dalamnya terkandung hujan berkeadaan beku.

"Apabila berada di kedudukan tinggi pada suhu tertentu, ia akan jatuh ke bumi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas mengenai kejadian hujan air batu sebesar penumbuk orang dewasa di beberapa kawasan di daerah ini sehingga merosakkan kira-kira 40 rumah di lima kampung, kelmarin.

Mengulas lanjut, Md. Kamsan menjelaskan, fenomena itu berlaku mungkin disebabkan suhu di udara menyamai suhu kristal ais tersebut menyebabkan ia tidak mencair dan tidak menjadi rintik hujan normal.

Kristal ais, jelasnya, sebenarnya rintik hujan namun ia tidak sempat mencair di udara terutama ketika hujan lebat dan ribut petir.

Tambah beliau, pihaknya meramalkan fenomena hujan lebat berserta ribut petir akan terus berlaku di kawasan pedalaman itu sehingga awal November ini.

"Ribut petir biasanya berlaku di pedalaman Pantai Barat Semenanjung dan agak kurang di Pantai Timur," katanya.

Menurutnya, penduduk di negeri ini perlu bersedia menghadapi peralihan monsun ini kerana fenomena hujan lebat dan ribut petir itu hanya berakhir selepas November ini.


Sumber Berita & Gambar : Utusan Online 01/10/2009 (www.utusan.com.my)