Saturday, August 22, 2009

Sukarnya memburu kelah

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my


Pemburu ikan kelah terpaksa berkhemah untuk menangkap ikan air tawar di lubuk Sungai Pengau, Hulu Tembeling, Jerantut, baru-baru ini.
-----------------------------------------------------------------------------

JERANTUT 21 Ogos - Menangkap ikan air tawar sebenarnya tidak semudah yang disangkakan apatah lagi ia merupakan spesies liar yang hanya terdapat di tengah- tengah hutan rimba.

Bagi penduduk daerah ini, kegiatan menangkap ikan air tawar sering dilakukan di Sungai Tembeling dan Sungai Pahang kerana kedua-dua sungai tersebut kaya dengan spesies bernilai tinggi.

Memandangkan sebahagian Sungai Tembeling dan Sungai Pahang termasuk di dalam hutan Taman Negara yang merupakan kawasan larangan menangkap ikan, kegiatan itu tertumpu di anak-anak sungai yang terdapat di hutan Hulu Tembeling dekat sini.

Dalam kebanyakan ikan air tawar, kelah menjadi spesies paling popular berbanding ikan air tawar lain kerana keenakan rasanya dalam masakan.

Kelah biasanya diburu di lubuk dan air terjun berbatu yang terletak jauh di dalam hutan dan hanya 'pemburu' yang benar-benar kental mampu menghadapi segala cabaran yang sedia menanti.

Salah sebuah tempat yang menarik dan menjadi habitat ikan kelah di pedalaman Hulu Tembeling ialah di hulu Sungai Pengau.

Di hulu sungai berkenaan terdapat dua habitat ikan kelah, keli dan baung yang berkumpul di Lubuk Kayu Ara dan Lata Pegawai yang terletak sejauh lima jam perjalanan dari Hutan Lipur Sungai Pengau.

Kebiasaannya penduduk Hulu Tembeling memburu ikan kelah di anak sungai sebagai kegiatan masa lapang pada hujung minggu selain bersantai menikmati keindahan hutan sambil mencari buah-buahan hutan seperti taban, perah, bangkong dan berangan.

Pada musim kemarau, ikan kelah dan beberapa spesies lain keluar dari lubuk untuk mencari makanan yang terdiri daripada buah-buahan hutan seperti neram, maris, ara, perah, jambu air dan mata lembu yang gugur di permukaan air sungai.

Ketika itu, beribu-ribu kelah pelbagai saiz berkeliaran di lubuk Sungai Pengau yang menambat hati penggemar ikan air tawar.


Seorang penduduk menunjukkan spesies ikan kelah seberat 10 kilogram yang diperoleh di Sungai Tembeling, Jerantut, baru-baru ini.
-------------------------------------------------------------------------

Tidak hairanlah penggemar ikan air tawar begitu teruja dan sanggup meredah hutan berhari-hari lamanya semata-mata untuk menangkap seberapa banyak spesies berkenaan yang cukup enak dimasak gulai asam tempoyak dan pais ikan.

Meskipun kelah amat enak, namun untuk menangkapnya bukan kerja mudah.

Aktiviti memburu ikan kelah perlu dilakukan bermula pada awal pagi dengan menyusur arus berbatu Sungai Pengau yang dingin airnya.

Pemburu kelah akan membawa joran, jala, anak panah dan penutup muka sebagai peralatan asas menangkap ikan berkenaan.

Perjalanan selama lima jam ke hulu sungai memang memerlukan ketahanan fizikal yang tinggi.

Mengalami kecederaan di kaki akibat terpijak batu tajam dan terserempak dengan binatang buas yang keluar mencari makan merupakan perkara lumrah kepada pemburu kelah.

Tidak cukup dengan berjalan kaki, pemburu kelah terpaksa membuat rakit untuk menyusur di kawasan arus dalam dan memunggah peralatan makanan serta khemah untuk persiapan bermalam di hulu sungai di Hutan Lipur Pengau.

Menurut seorang pencari ikan, Baba Ibrahim, 56, kebiasaan pemburu kelah akan bergerak secara berkumpulan antara lima hingga sepuluh orang bagi tujuan keselamatan.

''Kita membawa makanan secukupnya untuk berkhemah antara dua hingga tiga malam bagi mencari kelah yang banyak di Lubuk Kayu Ara dan Lata Pegawai yang memang cukup dikenali di sini," katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Pengau baru-baru ini.

Menurut Baba, kaedah menangkap kelah mempunyai pelbagai cara seperti menyelam bergilir-gilir ke dasar lubuk dan celah batu untuk menembak haiwan itu dengan panah besi.

''Kaedah lain adalah dengan memancing dan menjala di kawasan tersebut," katanya.

Seorang remaja, Zamrizal Zulkefli, 19, memberitahu, dia biasanya memburu kelah pada hujung minggu bersama rakan-rakan sekampungnya di Sungai Tembeling.

''Kepenatan kami menjelajah hulu Sungai Pengau dan berkhemah berbaloi apabila ada di kalangan kami mendapat kelah," katanya.

Bagaimanapun, Zamrizal menjelaskan, atas dasar memahami peraturan pihak berkuasa, mereka melepaskan semula anak kelah ke lubuk sungai demi pemuliharaan jangka panjang dan mengekalkan ekosistem hutan berkenaan.

Rakannya, Shahradin A. Karim, 43, berkata, kelah, keli dan baung yang ditangkap dijadikan lauk-pauk untuk makanan pada waktu malam sambil bersantai menikmati suasana hutan rimba berkenaan.

''Kegiatan menangkap ikan juga dilakukan pada waktu malam kerana kelah dan beberapa spesies lain kerap keluar mencari makanan di Lubuk Kayu Ara pada waktu itu.

''Biasanya, kami menggunakan lampu suluh dan mengambil sikap berhati-hati kerana bimbang terserempak dengan ular,'' katanya.

Shahradin menjelaskan, kelah yang ditangkap akan disalai serta diagihkan di kalangan rakan untuk dibawa pulang ke rumah bagi hidangan sekeluarga.

Bagi seorang penduduk Kampung Pengau, Ahmad Omar, 42, ekspedisi memburu kelah di hulu Sungai Pengau walaupun bertujuan berseronok dan bersantai tetapi ia perlu dirancang lebih awal untuk mengelakkan berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

Katanya, menangkap ikan air tawar memerlukan kecekalan, kesabaran dan kemahiran kerana pelbagai cabaran dan halangan yang bakal dilalui di tengah-tengah hutan rimba itu.


Sumber berita & gambar : utusan Online 22/08/09 (www.utusan.com.my)