PULAU TAWAR - Sebanyak 34 buah kereta dan sebuah bas terdiri daripada 49 kakitangan dan ahli keluarga bersama 40 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Gelanggi 2 menyertai Program Jejak Mat Kilau sempena sambutan kemerdekaan ke-51, baru-baru ini.
Konvoi yang diketuai oleh pengetua sekolah berkenaan, Dr Azman Uzir merupakan anjuran SMK Kota Gelanggi 2 dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kedondong Pulau Tawar.
Dr. Azman berkata, program yang diadakan ini merupakan satu kelainan yang cuba ditampilkan menerusi sambutan kemerdekaan kali ini, selain mengibarkan Jalur Gemilang di sekolah.
Menurutnya, kurikulum di sekolah ada menyentuh perihal sejarah kepahlawanan Mat Kilau, dan program ini dilihat amat bertepatan untuk memberi pendedahan kepada pelajar secara langsung mengenai aspek sejarah tokoh pahlawan itu.
“Bukan itu sahaja, lawatan jejak Mat Kilau yang diadakan ini juga pada dasarnya adalah untuk melihat sendiri dan mengungkap sejarah dari dekat bagi menghayati semangat yang ditunjukkan Mat Kilau dahulu.
“Seterusnya, hasil lawatan itu juga, persepakatan pihak sekolah juga memutuskan untuk menamakan dewan sekolah yang ada kini dengan nama tokoh pahlawan itu,” katanya ketika ditemui di Makam Mat Kilau.
Dr. Azman berkata, lawatan bersejarah ini juga diadakan untuk mengeratkan hubungan silaturahim seluruh warga sekolah yang terlibat bagi menghayati kemerdekaan negara pada kali ini.
Menurutnya, program yang diadakan itu memberi pendedahan kepada semua yang terlibat dan juga masyarakat luar amnya, bahawa sejarah amat penting kepada pembentukan sesebuah negara bangsa.
“Dengan pendedahan begini, secara langsungnya memberi pendedahan bahawa sejarah yang ditinggalkan melalui perjuangan terdahulu merupakan suatu usaha yang sangat perlu dihargai dan dijaga dengan baik bagi meneruskan kesinambungan nikmat yang dikecapi kini untuk generasi akan datang pula,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Kedondong Pulau Tawar, Mohd Ali Abdul Rahman pula berkata, pihak pengurusan JKKK menyambut baik usaha pihak sekolah mengadakan lawatan ke Makam Mat Kilau itu.
Menurutnya, usaha begini wajar dicontohi kerana generasi muda kini sememangnya harus didedah dan didekatkan dengan sejarah supaya mereka mengetahui asal kejadian sesebuah negara.
“Dengan ini, pastinya semangat kemerdekaan sedikit sebanyak dapat dirasai oleh generasi baru yang rata-ratanya anak merdeka untuk lebih menghargai perjuangan generasi terdahulu.
“Secara tidak langsung, pembelajaran melalui kurikulum di sekolah dengan pengamatan dari dekat elemen sejarah ini, dilihat suatu usaha bertepatan dalam membentuk jati diri bagi menghargai jasa terdahulu dan semangat cintakan negara,” katanya.
Antara lokasi lawatan yang disinggahi oleh peserta adalah tapak asal rumah Mat Kilau, Makam Mat Kilau, masjid yang disinggahi oleh beliau dan turut diadakan bacaan tahlil dan Yasin untuk pahlawan terbilang itu.
Sumber Berita & Gambar : Sinar Harian Online
Nota Kaki :
Teringin benar nak menjenguk makam Mat Kilau. Jasa beliau terhadap penentangan kepada penjajah British sangat mengkagumkan.
JEJANTAS UDARA MENARA BERKEMBAR PETRONAS (Skybridge KLCC)
-
Semalam (19/02/2017) saya berkesempatan membawa anak sulong saya, Luqman
Hakim ke Jejantas Udara KLCC (Skybridge Petronas Twin Tower). Ia adalah
kejutan ke...
7 years ago