JERANTUT 27 Okt. – Nasib 120 keluarga miskin di Hulu Tembeling dekat sini bakal terbela apabila projek ‘Ladang Sejahtera Rakyat’ (LSR) yang berorientasikan pertanian, penternakan dan pelancongan akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri tidak lama lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, selain berorientasikan ketiga-tiga komponen sumber ekonomi tersebut, projek itu juga bakal menjana sektor industri kecil dan sederhana (IKS) di kawasan terbabit.
‘‘Konsep LSR ini akan menjadi pemangkin pembangunan meliputi kampung tradisional di persisiran Sungai Tembeling dan kawasan-kawasan penempatan yang mundur, terpencil dan terbiar di Hulu Tembeling.
‘‘Pembangunan di bawah projek itu nanti akan merangkumi kemudahan asas, pembangunan ekonomi melalui ladang komersial dan sampingan seperti tanaman kontan, ternakan dan perikanan,” katanya ketika ditemui di Kampung Pagi di sini hari ini.
Menurut beliau, projek terbabit akan turut memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan melalui penyusunan semula kampung tradisional di Hulu Tembeling dengan dilengkapi kemudahan asas selain kursus dan latihan kemahiran untuk para penduduk.
Bagi mencapai matlamat berkenaan, katanya, Felcra diberi tanggungjawab memajukan kawasan seluas 1,500 hektar iaitu fasa pertama tanaman kelapa sawit yang akan memberi manfaat pulangan saham dan menjana sektor tenaga kerja penduduk tempatan.
Fasa memajukan tanah untuk projek kelapa sawit, jelas Wan Amizan, akan diselenggarakan secara berperingkat oleh Felcra berikutan usaha kerajaan negeri ke arah menangani masalah kemiskinan sifar di kawasan itu.
‘‘Kita juga akan memberi peluang kepada peserta yang terdiri daripada golongan belia yang sudah berkeluarga untuk bergiat aktif dalam sektor pelancongan memandangkan kampung mereka berdekatan dengan Taman Negara Kuala Tahan,” katanya.
Wan Amizan yang juga Ketua Pemuda UMNO Jerantut berkata, dalam masa sama, kerajaan negeri akan berusaha membantu penduduk miskin membaik pulih rumah mereka yang rosak dan uzur menerusi peruntukan yang disediakan secara berperingkat.
Sumber : Utusan Online 28/10/08 (www.utusan.com.my)
JEJANTAS UDARA MENARA BERKEMBAR PETRONAS (Skybridge KLCC)
-
Semalam (19/02/2017) saya berkesempatan membawa anak sulong saya, Luqman
Hakim ke Jejantas Udara KLCC (Skybridge Petronas Twin Tower). Ia adalah
kejutan ke...
7 years ago