Sunday, September 21, 2008

Stesen Keretapi Jerantut

Jerantut memang suatu nama yang sinonim dengan Taman Negara. Ia terletak agak pedalaman dan boleh dihubungi melalui jalan raya dan keretapi. Perjalanan melaui udara agak mustahil kecuali melalui pesawat udara yang disewa khas atau pesawat tentera dan polis. Bagaimanapun perjalanan ke Taman Negara yang popular itu boleh melalui jalan air menggunakan bot-bot pelancong.

Pelancong yang datang dari luar negeri Pahang digalakkan menggunakan kenderaan awam seperti bas dan keretapi. Bagi pelancung yang datang menggunakan pengangkutan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), hentian utama yang harus dituju ialah Stesen Keretapi Jerantut.

Stesen ini adalah stesen utama memandangkan ia membolehkan pelancong untuk singgah di Bandar Jerantut yang terletak kurang 5 minit berjalan kaki dari stesen berkenaan. Pelancong yang kurang arif berkaitan pengetahuan dan pengangkutan untuk ke Taman Negara boleh mendapatkan maklumat dan khidmat syarikat pelancongan yang berpusat di Bandar Jerantut. Kewujudan hotel-hotel kelas pertengahan seperti "Jerantut Hill Hotel", "Jerantut Rest House" atau hotel-hotel budget seperti "Hotel Kim Yen", "Hotel Sakura", "Hotel Inderapura" dan "Jerantut Inn" menawarkan pilihan kepada pelancong untuk bermalam sebelum memulakan perjalanan ke Taman Negara pada awal pagi.

Pada kunjungan penulis ke Stesen Keretapi Jerantut pada 22/08/2008 yang lepas, didapati ia turut menyediakan kemudahan tandas, surau, gerai makanan ringan dan restoran di alam komplek stesen berkenaan. Kemudahan meletak kenderaan adalah mencukupi. Bagaimanapun, longgokan sampah berhampiran stesen berkenaan mencemarkan pandangan. Apatah lagi jika terdapatnya pelancong yang lebih selesa berjalan kaki melalui kawasan tersebut.

Penulis juga kurang berpuas hati dengan lambang nama "JERANTUT' yang di hias di atas bukit kecil berhadapan stesen itu yang dilihat sangat daif dan bersemak. Diharap pihak KTMB dan Majlis daerah Jerantut (MDJ)dapat membuat sesuatu untuk meningkatkan imej Jerantut kepada pelancong luar.

Kepada pelancong luar yang ingin berkunjung ke sini dengan menggunakan kemudahan keretapi, bolehlah mendapatkan maklumat lanjut dan membuat tempahan tiket melalui website http://www.ktmb.com.my.