Wednesday, July 15, 2009

Guru perlu bersungguh bina akhlak pelajar

HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my


SULTAN Ahmad Shah bersalam dengan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan, Jerantut, selepas merasmikan sambutan Jubli Perak sekolah berkenaan, kelmarin.
--------------------------------------------------------------------------------


JERANTUT 15 Julai - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah mahu warga pendidik dan sekolah memainkan peranan bersungguh-sungguh untuk membina akhlak serta jati diri pelajar bagi menangani gejala sosial.

Baginda bertitah, cabaran global yang semakin sengit hari ini menuntut pentadbiran sekolah dan warga pendidik supaya lebih cekal serta berkemahiran dalam membina perwatakan dan intelektual pelajar mereka.

Titah baginda, pencapaian sesebuah sekolah bukan hanya diukur kepada keselesaan prasarana dan kecemerlangan akademik pelajarnya, tetapi juga kejayaan dalam mendidik modal insan berwibawa, berakhlak mulia dan boleh dijadikan contoh oleh masyarakat.

"Peranan guru dan sekolah semakin mencabar dan menjadi harapan ibu bapa untuk terus memberi sumbangan mendidik anak-anak dengan acuan kekuatan akhlak dan jati diri bagi menghadapi cabaran kehidupan yang lebih besar pada masa akan datang.

"Tugas ini menuntut kemahiran pengurusan yang tinggi untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelektual, emosi, jasmani dan rohani, sesuai dengan aspirasi falsafah pendidikan negara," titah baginda.

Sultan Ahmad Shah bertitah merasmikan Sambutan Jubli Perak Ke-25 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tengku Ampuan Hajah Afzan Pahang (SMKA TAHAP) di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Senator Datuk Maznah Mazlan; Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar; Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff dan Pegawai Daerah Jerantut, Datuk Ismail Mohd. Ali.

Majlis sambutan itu bagi memperingati Almarhum isteri baginda, Tengku Afzan Tengku Panglima Perang Muhammad yang mangkat pada 1988 dan diabadikan dengan nama sekolah tersebut.

Menurut Sultan Ahmad Shah, hubungan ibu bapa, bekas pelajar dengan pihak sekolah juga amat penting untuk menjamin pencapaian berterusan sekolah dalam semua bidang termasuk kokurikulum.

Baginda turut berbangga dengan pencapaian SMKA TAHAP yang mendapat anugerah lima bintang bagi pengurusan Sekolah Bestari, sekali gus merangsang semangat guru dan pelajar untuk terus melakar kejayaan lebih besar pada masa hadapan.

Pada majlis itu, Sultan Ahmad Shah turut berkenan menyampaikan sumbangan RM50,000 untuk dana sekolah tersebut bagi membiayai program meningkatkan kecemerlangan kurikulum, kokurikulum dan pembinaan insan.

Baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Bekas Pelajar sekolah itu kepada lima penerima termasuk Pengerusi Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk Mohd. Sahfri Ab. Aziz.


Sumber Berita & Gambar : Utusan Online 06/07/09 (www.utusan.com.my)