Thursday, July 2, 2009

ADUN tegur kontraktor gagal siap projek

JERANTUT 1 Julai - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak menegur sikap kontraktor yang gagal menyiapkan projek pembinaan calet di Kampung Pagi, Hulu Tembeling di sini sehingga menjejaskan pembangunan sektor pelancongan di kawasan itu.

Beliau berkata, kontraktor terbabit perlu menyiapkan projek pembinaan calet itu yang menelan kos lebih RM100,000 mengikut jadual.

Ini kerana, katanya, projek itu perlu disiapkan segera bagi menyediakan kemudahan penginapan kepada pelancong disebabkan permintaan semakin bertambah.

"Kita memandang serius kelewatan menyiapkan projek itu yang sepatutnya mengikut jadual supaya boleh digunakan oleh pelawat ke Taman Negara Kuala Tahan yang singgah di kampung ini," katanya ketika melawat projek itu semalam.

Menurut Wan Amizan, kelewatan pembinaan projek itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia dilaksanakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) milik kerajaan negeri.

Beliau yang juga Pengerusi Exco Pembangunan Luar Bandar Pemuda UMNO berkata, pihaknya telah menghantar surat meminta penjelasan daripada PKNP mengenai kelewatan itu.

"Saya jangkakan, pembinaan calet ini hanya mengambil masa antara dua hingga tiga bulan memandangkan projek ini tidaklah sebesar mana di samping ramai pekerja," katanya.

Jelasnya, pegawai PKNP sewajarnya memantau kerja pembinaan berkenaan siap mengikut jadual selain jaminan kualiti dan manfaat keselesaan untuk orang ramai.

Sementara itu, Ketua Kampung Pagi, Mi Hamidi Nipah berkata, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah memaklumkan kelewatan projek itu kepada PKNP.

"Namun, saya nampak tidak ada pekerja yang datang membina calet itu dan tidak tahu kenapa mereka melengah-lengahkan kerja pembinaannya," katanya.


Sumber Berita : Utusan Online 02/07/2009 (www.utusan.com.my)