Monday, July 6, 2009

Berderau pada musim kemarau

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my


SEBAHAGIAN penduduk bergotong-royong atau berderau menolak bot yang terkandas pada musim kemarau di Hulu Tembeling, Jerantut.
--------------------------------------------------------------------------------



JERANTUT 6 Julai - Semangat gotong-royong sememangnya telah menjadi teras dalam kehidupan masyarakat Melayu sejak zaman berzaman.

Amalan murni itu seharusnya dipertahankan kerana ia terbukti dapat membawa keamanan dan perpaduan di kalangan masyarakat di negara ini.

Lazimnya, bagi masyarakat luar bandar, gotong-royong meliputi kegiatan membersihkan persekitaran kampung, kubur, surau atau masjid selain kenduri.

Namun, bagi penduduk di kawasan pedalaman negeri ini terutama di Pahang Barat, amalan bergotong-royong bukan sekadar kegiatan yang dinyatakan itu.

Ia meliputi kegiatan membersihkan sungai memandangkan ia merupakan nadi dan sumber pendapatan bagi penduduk di kawasan terbabit.

Malah, kegiatan itu juga mempunyai namanya yang tersendiri yang dikenali sebagai 'berderau.'

Penduduk di sekitar Taman Negara dan Hulu Tembeling dekat sini begitu sinonim dengan kegiatan berderau iaitu membersihkan alur di Sungai Tembeling terutama ketika musim kemarau.

Kegiatan bergotong-royong membersihkan alur sungai itu terpaksa dilakukan ketika kemarau kerana air sungai menjadi cetek dan menyukarkan laluan bot penambang ke sesebuah kampung di kawasan pedalaman.

Air yang cetek menyebabkan bot penambang yang membawa penumpang dan pelancong kerap tersangkut di kawasan jeram yang berbatu dan berpasir.

Beberapa jeram di Sungai Tembeling yang menjadi laluan sukar kepada bot penambang ketika kemarau ialah Jeram Nusa, Jeram Dua, Jeram Abai, Jeram Teras, Jeram Dedari, Jeram Panjang, Jeram Terenggan, Jeram Aur dan Jeram Katak.

Menurut Ketua Kampung Pagi, Mi Hamidi Nipah, penduduk terpaksa melakukan kegiatan berderau untuk mengorek batu dan pasir di kawasan alur di jeram yang menjadi laluan utama bot penambang setiap kali musim kemarau.

''Kita terpaksa memindahkan batu-batu yang besar dan mengorek pasir yang menyekat laluan bot di alur jeram tersebut.

''Jika tidak, bot yang membawa penumpang pasti terkandas dan tersadai di kawasan jeram sehingga melambatkan perjalanan ke sesebuah tempat selain membahayakan keselamatan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Jeram Dedari, Sungai Tembeling, Kuala Tahan baru-baru ini.

Menurut Mi Hamidi, kegiatan itu merupakan rutin dan tanggungjawab sosial penduduk Hulu Tembeling ketika musim kemarau bagi memastikan penumpang bot penambang tidak mengalami kesulitan semasa melalui laluan air sungai cetek.

Seorang pemandu bot penambang, Zainuddin Nong, 43, memberitahu, kegiatan bergotong-royong itu juga dapat mendidik masyarakat mencintai sungai dengan memastikan kawasan itu bersih dan ceria.

''Budaya berderau mengajak masyarakat bergotong-royong membersihkan alur sungai ketika musim kemarau untuk memudahkan bot penambang bergerak dengan cepat dan selesa," katanya.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata, Sungai Tembeling menjadi perhubungan utama penduduk Hulu Tembeling dan pemandu bot sering berhadapan dengan masalah ketika kemarau.

Sementara itu, seorang penduduk, Affandi Mohamad, 32, berkata, kegiatan berderau dilakukan pada sebelah pagi untuk mengesan alur sungai yang berbatu dan berpasir.

''Kami bergotong-royong mengangkat batu besar dan berat yang berada di alur laluan bot selain mengorek pasir yang menyekat perjalanan bot," katanya.

Kebiasaannya, jelasnya, kerja gotong-royong itu membabitkan seramai 30 penduduk dan ia dilakukan sehari suntuk hingga ke petang.

Menurutnya, amalan itu lebih meriah apabila penduduk terbabit membawa beras untuk ditanak dan memancing ikan sungai untuk dijadikan lauk.

''Kegiatan berderau bagaikan pesta apabila penduduk berkelah beramai-ramai di tepi sungai ketika berhenti untuk menjamu selera," katanya.

Rakannya, Mohd. Haiqal Zakaria, 23, berkata, kerja gotong-royong membersihkan alur sungai semakin ringan dan seronok apabila ia dilakukan beramai-ramai.

Dia difahamkan amalan berderau hanya dilakukan oleh penduduk di sekitar Taman Negara dan Hulu Tembeling dan ia mungkin tidak dapat dilihat di tempat lain.

Amalan berderau itu juga, jelasnya, berjaya menarik perhatian pelancong barat yang berkunjung ke Taman Negara.

''Ketika bergotong-royong membersihkan alur sungai, pelancong barat turut sama merakam gambar dan memuji usaha kami memulihara keceriaan sungai," tambahnya.

Mohd. Haiqal juga berharap lebih ramai golongan muda kampung itu melibatkan diri dalam kegiatan berderau supaya amalan tersebut tidak luput di telan zaman.


Sumber Berita & Gambar : Utusan Online 07/07/09 (www.utusan.com.my)