Monday, March 2, 2009

Dari hutan ke kuarters


ROSNI (duduk) bersama anak-anaknya di kuarters JKR yang menjadi rumah baru mereka di Jerantut semalam.

JERANTUT - Keperitan hidup keluarga 13 beranak dalam pondok buruk di hutan kira-kira lapan kilometer dari Kampung Sepial Lama di sini sejak tiga bulan lalu sudah berakhir.

Keluarga ibu tunggal, Rosni Abdullah, 41, itu bukan sahaja sudah diberi kediaman lebih selesa di kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) di Batu 1 dekat Jerantut tetapi juga menarik perhatian ramai.

Selepas laporan muka depan Kosmo! semalam, mereka menerima limpahan bantuan daripada orang ramai yang bersimpati.

Pada masa sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta-merta menaikkan elaun bulanan untuk Rosni daripada RM70 kepada RM450.

"Ini semua untuk anak-anak. Saya harap mereka hidup selesa dan dapat pergi sekolah macam anak orang lain.

"Mereka tidak pernah minta apa-apa sebab tahu keluarga susah. Dulu setiap kali saya fikir hal makan minum anak-anak, saya selalu rasa nak menangis," katanya ketika ditemui di rumah barunya itu semalam.

Rosni dan 12 anaknya dibenarkan mendiami rumah itu dengan sewa cuma RM50 sebulan.

Kos sewa bulanan kuarters itu dibiayai oleh sebuah syarikat swasta, Able Build Sdn. Bhd. manakala Touch Matrix Sdn. Bhd. pula menyumbangkan bantuan barangan keperluan seperti makanan dan pakaian.


Sumber berita dan gambar : Kosmo Online 03/03/2009