Friday, February 13, 2009

PBSD jalankan kempen tambah ahli

JERANTUT 13 Feb. - Persatuan Bomba Sukarela Damak (PBSD) sedang menjalankan kempen menambah ahli pasukan bagi memantapkan lagi kerja-kerja menyelamat kebakaran dan bencana alam.

Pengerusi PBSD Jerantut, Sam Choo Wah berkata, keanggotaan pasukan itu yang kini seramai 32 orang akan ditambah dari semasa ke semasa bagi melaksanakan operasi bantuan, menyelenggara jentera dan peralatan menyelamat.

''Kita menggalakkan golongan belia, penduduk setempat dan kakitangan kerajaan menjadi anggota pasukan ini selaras dengan tanggungjawab sosial dan semangat sukarelawan," katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kempen penambahan ahli dilakukan menerusi ceramah dan pameran yang sedang giat dilaksanakan di kawasan Damak, Hulu Cheka dan Batu Balai di sini.

''Kita akan meningkatkan kemahiran ahli-ahli baru mengenai pengendalian jentera dan operasi menyelamat dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut," katanya.

Selain memantapkan operasi menyelamat, jelasnya, penglibatan dalam pasukan sukarela itu akan mengaktifkan ahli-ahlinya dalam kerja-kerja kemasyarakatan lain.

Choo Wah berkata, pihaknya bangga kerana PBSD diiktiraf antara enam daripada 35 pasukan bomba sukarela paling aktif di negeri ini.

Sementara itu, katanya, jentera bomba yang dibekalkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan baru-baru ini melengkapkan lagi peralatan bagi menjalankan operasi menyelamat pasukan itu.

''Pasukan ini juga dilengkapi pam angkut, 11 pasang jaket, kasut kalis api dan hos memadam api," tambahnya.


Sumber : Utusan Online 14/02/2009