Friday, March 13, 2009

Kuasai sektor perladangan

JERANTUT 12 Mac - Anak-anak peneroka di negeri ini perlu memainkan peranan lebih aktif untuk memastikan sektor perladangan di tanah rancangan tidak dikuasai pekerja asing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, sektor perladangan di tanah rancangan Felda mampu menjadi pemangkin kepada perubahan taraf hidup mereka.

Katanya, Felda telah membuktikan sektor perladangan di tanah rancangan berjaya mengubah taraf hidup peneroka menerusi pendapatan lumayan daripada hasil jualan sawit dan getah.

''Kecekapan Felda mengurus tanah dengan tanaman kelapa sawit dan getah berjaya mencorakkan kehidupan baru kepada peneroka," katanya di sini hari ini.

Ahmad Shukri seterusnya berkata, anak-anak peneroka juga perlu melengkapkan diri dengan kemahiran dalam pengurusan ladang sebagai persiapan untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

Katanya, pelbagai insentif telah diberi Felda dalam membantu para peneroka menerusi kegiatan perladangan getah dan kelapa sawit.


Sumber berita : Utusan Online 13/03/2009