Tuesday, January 13, 2009

Tarikan di Mat Daling


HANYA kenderaan 4X4 sahaja yang dibenarkan memasuki laluan ke Ulu Tembeling ini.


SELAIN pertukangan perahu, kunjungan Mega ke Kampung Mat Daling yang diuruskan oleh pengendali pelancongan pacuan empat roda (4X4) Middle Earth, baru-baru ini turut menyingkap kehidupan tradisional masyarakat Melayu di pedalaman.

Perjalanan dari Motel & Kafe Middle Earth di Jerantut, Pahang, memakan masa lebih daripada yang sepatutnya kerana keadaan jalan balak yang basah dan berselut.

Kumpulan yang dianggotai oleh 50 peserta menggunakan 16 buah kenderaan bertambah sukar apabila banyak kenderaan yang tersangkut dan terpaksa ditarik menggunakan winch. Kesukaran yang dihadapi memberi peluang peserta untuk menikmati suasana perkhemahan malam di pinggir Kampung Samas.

Keesokan harinya selepas setengah hari meneruskan perjalanan, aliran Sungai Tembeling yang merentasi tiga kampung utama iaitu Kampung Bantal, Mat Daling dan Gusai mula kelihatan di sebalik kabus dan kanopi hutan yang tebal di situ.

Ketibaan disambut mesra oleh pengusaha chalet, Che Wan Kamaruddin Wan Abdul Rahman dengan hidangan istimewa Ulu Tembeling, ikan patin masak tempoyak dan gulai asam rom.

Madu kerabat
Sebelah petangnya seperti yang dijanjikan oleh Pengarah Urusan Middle Earth, Marodzuan Abd Ghani memperkenalkan ahli kumpulan dengan produk paling istimewa dari Kampung Mat Daling, iaitu madu pokok tualang.

Ia dikatakan satu-satunya madu yang digunakan oleh kerabat di raja Pahang dan tidak pernah dibawa keluar untuk dijual, tetapi di situ ia boleh dibeli pada harga RM50 sebotol bergantung kepada bekalan daripada penduduk.

Menurut Che Wan Kamaruddin, satu perkara yang unik mengenai madu Mat Daling adalah mengenai kitaran hasil tuaian madu yang meningkat setiap kali tiba musimnya.

"Setiap tujuh tahun penduduk akan mendapat hasil tuaian madu yang berganda-ganda banyaknya.

"Kitaran terakhir berlaku dua tahun lalu di mana sebatang pokok tualang yang biasanya mempunyai 20 hingga 30 sarang mempunyai kira-kira 100 sarang," ujarnya.

Selain madu, kayu gaharu yang terdapat di hutan Ulu Tembeling juga menjadi sumber pendapatan penduduknya. Harga bagi sekilogram gaharu dikatakan boleh mencecah hingga RM15,000.

Petang itu, kumpulan dibawa menyusuri sungai di Kampung Gusai menuju ke pekan Ulu Tembeling untuk melihat Istana Seri Tembeling yang menjadi 'istana hinggap' Sultan Pahang.

Malam itu kami menghidupkan unggun api dan berkhemah di tepi sungai Tembeling, laluan yang pernah digunakan oleh Mat Kilau, pejuang Melayu dalam penentangan terhadap Inggeris pada 1880-an.

Hidangan lazat yang disediakan oleh pihak penganjur menghilangkan kepenatan seharian berada di dalam kenderaan.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pakej pelancongan ini, hubungi Tropica Green Travel & Tours di talian 03-7726 3607, Middle Earth di talian 03-6188 9990 atau 012-9819 145 (Marodzuan).


Sumber berita & gambar : utusan Online