Friday, January 9, 2009

Merintis laluan Lost Waterfall

Oleh ROHANA MAN
rencana@kosmo.com.my

Aliran yang jatuh itu hilang entah ke mana. Puas saya mencari ke mana airnya mengalir tetapi tidak ditemui. Mungkin ia mengalir di sungai bawah tanah.


INILAH Lost Waterfall yang airnya 'ditelan bumi' sebaik sahaja mencecah tanah.

EKSPEDISI ini nyata berbeza dengan cabaran lasak pacuan empat roda yang biasa dianjurkan oleh penggerak aktiviti tersebut. Jika pada kebiasaannya, jelajah hutan dengan pacuan empat roda atau 4x4 berakhir di tapak perkhemahan di tepi sungai, lain pula dengan apa yang Middle Earth lakukan.

Menerusi pakej Lost Trail, Middle Earth akan membawa kita berkhemah di tepi sungai dan keesokan harinya, merentas hutan selama tiga hingga empat jam dengan berjalan kaki menuju ke sebuah air terjun yang begitu unik.

Ia dinamakan pakej Lost Trail kerana tidak ramai orang menggunakan laluan tersebut untuk sampai ke air terjun itu.

"Mengikut kajian kami, air terjun yang kami namakan Lost Waterfall ini hanya pernah dijejaki oleh hampir 1,000 orang sahaja sehingga hari ini,'' kata Pengarah Urusan Middle Earth, Marodzuan Abd Ghani kepada Kosmo!


"LATA TELOR terletak kira-kira 10 minit berjalan kaki dari tapak perkhemahan."

Jumlah kunjungan yang sedikit itu berpunca daripada ketakutan orang ramai untuk mendekati air terjun tersebut ekoran larangan keras orang dahulu yang hidup pada zaman Jepun.

"Untuk sampai ke air terjun ini, seseorang mesti menempuh laluan di tepi sungai Salan. Pada zaman Jepun, sebuah empangan dibina di sungai itu untuk bekalan air minum mereka. Empangan ini dikawal 24 jam dan sebarang penceroboh akan ditahan dan dikenakan hukuman berat.

"Penduduk kampung yang terlalu takut tidak berani memasuki kawasan sungai ini dan ketakutan itu berlarutan walaupun tentera Jepun telah lama menyerah kalah,'' ujarnya panjang lebar.


SEBAHAGIAN peserta di Lata Lebah.

Ketakutan itu juga menyebabkan air terjun tersebut seolah-olah 'hilang' daripada ingatan penduduk sekitar yang semakin melupakannya.

Menyedari keunikan air terjun itu, Middle Earth melancarkan ekspedisi merintis jalan ke Lost Waterfall pada bulan Ogos lalu.

"Ketika itu, kami menyeberangi lima hingga enam kali sungai Salan dan dengan bantuan penduduk kampung yang pernah sampai ke sana, kami akhirnya menemui Lost Waterfall. Perjalanan ini mengambil masa tiga hingga empat jam dari tapak perkhemahan,'' katanya sambil memberitahu orang kampung mengenali air terjun itu dengan nama Lata Manik.


KAWASAN berlumpur yang diredah sebelum tiba di tapak perkhemahan.




Ia dinamakan begitu kerana ketika matahari tegak di atas kepala iaitu sekitar pukul 1.00 tengah hari, percikan atau tempias air terjun kelihatan seperti butiran manik yang halus.

Middle Earth pula lebih selesa dengan gelaran Lost Waterfall kerana air terjun itu benar-benar 'hilang' tatkala mencecah bumi.

Menurut Marodzuan, air terjun tersebut jatuh dari ketinggian kira-kira 70 meter dan sebaik sampai di lantai bumi, airnya hilang entah ke mana. Tiada anak sungai yang wujud bagi membawa air tersebut masuk ke sungai Salan yang terletak kira-kira 200 meter darinya. Lebih unik kerana tempat jatuhnya air terjun itu diliputi batu hampar yang boleh dipijak tanpa masalah.

"Aliran yang jatuh ini hilang entah ke mana. Puas saya mencari ke mana airnya mengalir tetapi tidak ditemui. Mungkin ia mengalir di sungai bawah tanah,'' ujarnya teruja.

Menariknya, Marodzuan juga berkata, ekspedisi tersebut bukan setakat menemui Lost Waterfall, malah sebuah air terjun lain turut dijumpai semula iaitu Lata Lebah.

"Lata Lebah merupakan hulu sungai Salan. Ini kerana terdapat tiga anak sungai yang bersatu mengalir masuk ke sebuah alur yang membentuk sungai Salan,'' katanya.

Menyedari keunikan Lost Waterfall dan mahu berkongsi kehebatan air terjun itu dengan orang ramai, Middle Earth sekali lagi mengadakan ekspedisi khusus untuk media pada minggu lalu. Ekspedisi kali ini diadakan dengan kerjasama Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Pahang (MTPNP).

Saya yang turut mengikuti ekspedisi itu benar-benar teruja melihat keunikan air terjun ini. Kami memulakan perjalanan pada pukul 7.50 pagi dari tapak perkhemahan dan selepas menyeberang empat kali sungai Salan yang berarus deras, kami yang ditemani penunjuk arah, Mohd Jailani Mohd Muhaidin, 40, yang lebih mesra dipanggil Abang Ja akhirnya tiba di Lost Waterfall pada pukul 1.30 petang. Ini bermakna kami telah berjalan kaki selama 5 jam 40 minit!

Perjalanan menjadi lambat kerana kami banyak berhenti bagi membolehkan Abang Ja membuat marking baru iaitu mengikat tali merah putih di pokok-pokok sepanjang laluan.

"Dulu (Ogos lalu) dah buat marking tapi kita tak ikut laluan itu kerana air sungai besar. Sebab itulah, kita kena panjat bukit ni,'' kata Abang Ja.

Namun begitu, perjalanan yang panjang pada hari itu berbaloi tatkala mata terpaku melihat keunikan air terjun Lost Waterfall.

"Peliknya, mana pergi air terjun ni,'' tanya saya yang cuba mencari aliran keluar air terjun tersebut.

Namun, pencarian saya hampa kerana ia benar-benar ditelan bumi dan mengalir jauh di bawah tanah untuk sampai ke sungai Salan.


PENGETAHUAN bahasa isyarat seperti ini diperlukan untuk membolehkan 4x4 melalui jambatan balak dengan selamat.

Selepas puas mandi manda di pancuran semula jadi dan menikmati bekalan mihun goreng, kami beransur meninggalkan air terjun ini.

Laluan lereng bukit yang dipenuhi semak diredah semula untuk perjalanan pulang.

Di pertengahan jalan, kami ditimpa hujan sekali gus menjadikan air sungai lebih besar. Justeru, kami membuat 'rantai manusia' untuk menyeberang sungai yang semakin deras airnya.

Selepas berehat kurang lima minit di Lata Selesa, kami akhirnya tiba di tapak perkhemahan pada pukul 6.05 petang.

Di tapak perkhemahan, kami menunggu kepulangan wartawan Bernama yang menghadapi masalah pada lututnya dengan penuh berdebar.

Beliau yang ditemani dua anak jejakanya dan tiga ahli kelab Middle Earth selamat sampai di tapak perkhemahan pada pukul 12.03 tengah malam. Sebelum itu, sekitar pukul 9.30 malam, sebanyak lima ahli kelab Middle Earth yang lain telah masuk semula ke hutan untuk misi mencari dan menyelamat.

Keesokan paginya, kami dibawa pula oleh Marodzuan menikmati keindahan Lata Telor yang terletak kira-kira 10 minit dari tapak perkhemahan.


NAMPAK seperti mencemaskan tetapi kepakaran ahli Middle Earth berjaya menyelamatkan 4x4 ini.


Penerokaan ke air terjun ini tidak kurang hebatnya. Untuk sampai ke sana, kami menempuh satu kawasan yang dinamakan Japanese Garden.

Ia dinamakan begitu kerana pelancong pertama yang Middle Earth bawa ke situ adalah seorang pengembara dari Jepun.

"Uniknya lata ini kerana batu-batan yang terbentuk mempunyai ukiran seperti jubin marmar,'' katanya sambil menuding jari ke arah hamparan batu yang memiliki ciri-ciri itu.

Berakhirlah ekspedisi yang menarik ini apabila ketibaan kami di pejabat Middle Earth di Jerantut disambut oleh Pengurus Besar MTPNP, Idros Yahya.

Pada pertemuan itu, Idros menjelaskan sasaran utama pihaknya sekarang ialah mempergiatkan promosi destinasi yang belum dikenali ramai seperti Ulu Salan.

"Lokasi ini mempunyai tarikan tersendiri khusus untuk penggemar aktiviti lasak. Mungkin kebanyakan daripada kita sudah jemu bercuti di destinasi yang telah komersial dan mahu beralih ke lokasi lain yang tidak kurang hebatnya. Inilah yang MTPNP lakukan sekarang iaitu memberi tumpuan kepada usaha mempromosikan tempat-tempat baru di seluruh Pahang,'' ujarnya.


Sumber berita & gambar : Kosmo Online