SEBILANGAN bot yang beroperasi membawa pelancong di Taman Negara Kuala Tahan dan Hulu Tembeling, Jerantut, kelmarin. JERANTUT 10 Nov. - Semua pengusaha bot penambang di Taman Negara, Kuala Tahan dekat sini diingatkan supaya tidak menyalahgunakan subsidi kupon (fleetcard) petrol yang diberikan kerajaan baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, kerajaan tidak teragak-agak untuk menarik balik kemudahan itu jika ada pengusaha bot penambang menyalahgunakan kemudahan tersebut.
Beliau meminta penerima subsidi kupon itu bertanggungjawab dan jujur serta mematuhi peraturan ketika menggunakan kemudahan tersebut.
''Fleetcard hanya untuk tujuan pengangkutan membawa pelancong, penumpang dan barangan ke Taman Negara Kuala Tahan dan Hulu Tembeling.
''Sebarang penyalahgunaan kupon berkenaan dan menyimpang peraturan KPDNHEP, berkemungkinan subsidi ini akan ditarik balik menerusi pemantauan yang dibuat dari semasa ke semasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada penyerahan kupon subsidi kepada 193 pengusaha bit penambang di Woodland Resort, Kuala Tahan dekat sini, baru-baru ini.
Menurut beliau, subsidi itu dapat meningkatkan pendapatan pengusaha, pemandu dan pengemudi bot penambang yang rata-ratanya disenaraikan di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan.
''Seramai 170 orang dikenal pasti diletakkan di bawah SPKR dan sebilangannya terdiri daripada pemandu dan pengemudi bot penambang yang akan bebas daripada garis kemiskinan setelah menerima subsidi petrol ini," katanya.
Jelas beliau, pemberian subsidi kupon petrol itu merupakan sebahagian usaha kerajaan negeri untuk menambah baik dan merancakkan lagi sektor pelancongan di Taman Negara Kuala Tahan dan Hulu Tembeling dekat sini.
Kerajaan, katanya, sentiasa prihatin dengan rintihan 93 pengusaha bot penambang Sungai Tembeling dan Sungai Tahan berikutan kenaikan harga petrol baru-baru ini.
''Kerajaan amat prihatin dengan masalah yang dihadapi pengusaha bot di sini dan proses untuk mendapatkan subsidi yang dijanjikan sejak dua tahun lalu memakan masa apabila melalui pelbagai prosedur di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
''Saya berterima kasih kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad yang mendengar rintihan pengusaha bot Taman Negara dan meluluskan permohonan subsidi bahan api ini," katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Jerantut, Ismail Mohd. Ali berkata, pengusaha bot Taman Negara termasuk pemilik resort perlu menurunkan kadar tambang dan sewa bot penambang setelah kerajaan memberi subsidi bahan api berkenaan.
''Subsidi sudah dapat dan beban pengusaha semakin ringan, eloklah memikirkan semula untuk menurunkan kadar tambang bot ke semua destinasi di Kuala Tahan dan Hulu Tembeling," katanya.
Ismail berkata, kenaikan tambang dan sewa bot dirasai penduduk dan pelancong jika perubahan kadar itu tidak dilaksanakan segera.
Beliau menambah, pengusaha bot sungai memainkan peranan penting untuk memajukan sektor pelancongan di Pahang dengan memberi perkhidmatan terbaik termasuk tambang yang berpatutan kepada pelawat.
Sumber berita & gambar : Utusan Online 11/10/08 (www.utusan.com.my)