Monday, November 3, 2008

Hujan lebat, air Sungai Tembeling makin naik

JERANTUT 3 Nov. - Banjir di Pahang dijangka akan berlaku tidak lama lagi berdasarkan wujud tanda-tanda kenaikan paras air Sungai Tembeling ketika ini.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, paras air Sungai Tembeling, naik selepas hujan lebat malam tadi, sehingga menenggelamkan laluan ke restoran terapung dan jeti di Taman Negara Kuala Tahan.

Dalam masa yang sama, hanya kenderaan pacuan empat roda sahaja boleh digunakan untuk melalui laluan ke arah jeti terbabit.

Bagaimanapun, paras air berkenaan belum mencecah tahap berjaga-jaga yang mendorong ramai pengusaha bot masih menjalankan kegiatan harian seperti biasa.

Seorang pemandu bot penambang, Zulkefli Jamaluddin, 45, berkata, kebiasaannya pada awal November setiap tahun, paras air Sungai Tembeling akan naik berikutan hujan lebat mulai turun.

"Kenaikan paras air ini menandakan musim banjir akan bermula memandangkan keadaan cuaca tidak menentu dan hujan lebat pada sebelah malam," katanya ketika ditemui di Kuala Tahan, dekat sini hari ini.

Menurut Zulkefli, sebagai langkah keselamatan, ramai di kalangan pengusaha bot telah mengurangkan jarak perjalanan khususnya ke Hulu Tembeling kerana arus yang deras dan berisiko apabila melalui beberapa kawasan jeram serta berbatu di sungai tersebut.

Tambahnya, jika hujan turun berterusan di kawasan Hulu Tembeling dan sekitar Taman Negara dalam tempoh beberapa hari lagi, kemungkinan perkampungan persisiran sungai di daerah Jerantut antara tempat pertama akan ditenggelami banjir di negeri ini.


Sumber Berita : Utusan Online 04/11/08 (www.utusan.com.my)


izzi note :

Ini adalah gambar keadaan arus sungai, restoran terapung dan kedudukan jeti Taman Negara Kuala Tahan. Gambar ini dirakam oleh penulis semasa kunjungan ke Taman Negara pada 03/05/2008. Bayangkan betapa besarnya arus dan limpahan air sungai akibat hujan yang menyebabkan laluan ke restoran terapung dan jeti Taman Negara ditenggelami air.