Wednesday, October 22, 2008

RM120j majukan DUN Tahan

KAMPUNG LABU – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Unit Perancang Ekonomi (EPU) diperuntukkan hampir RM120 juta untuk melaksanakan projek pembinaan jalan baru, menaik taraf jalan dan membaiki lima jambatan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, pelaksanaan projek berkenaan adalah bagi mengatasi masalah yang dihadapi penduduk dan pengguna yang menghadapi kesukaran pada setiap kali musim banjir.

Menurutnya, daripada jumlah itu, peruntukan RM100 juta akan digunakan bagi pembinaan jalan dari kampung Tuit ke Kampung Pagi, sejauh 28 kilometer jalan darat dan merentasi tujuh jeram sekiranya menggunakan laluan air.

“Peruntukan pembinaan jalan berkenaan membabitkan kos RM80 juta, manakala lagi RM20 juta untuk kos pengurusan.

“Gerak kerja pembinaan jalan itu akan dilakukan secepat mungkin selepas tender dibuka dan pemilihan kontraktor dilakukan,” katanya ketika sidang media merasmikan Program Kembara Berakit Lembah Tembeling dari Kampung Labu ke Pulau Tawar, di sini baru-baru ini.

Wan Amizan berkata, RM11 juta pula akan diperuntukkan bagi membina dan menaik taraf lima jambatan bagi mengatasi gangguan perhubungan jalan raya khasnya ketika musim banjir.

Menurutnya, antara jambatan terlibat ialah di Sungai Garok, Sungai Oak, Sungai Puai, Sungai Selimbar dan Sungai Kerak akan terbabit dalam projek ini menerusi Program Infrastruktur Banjir 2007.

“Baik pulih jambatan baru yang terlibat akan dibina lebih tinggi daripada aras sungai, supaya mampu mengatasi masalah ditenggelami air pada setiap kali banjir, sekali gus mengelakkannya daripada menghalang laluan ke Kuala Tembeling dan Taman Negara Kuala Tahan.

“Projek yang akan dilaksanakan ini ialah menerusi kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), yang turut memperuntukkan RM6 juta bagi membaik pulih jalan runtuh menghala ke Kuala Tahan, pada Disember 2007 lalu,” katanya.

Beliau berkata, baik pulih jalan itu dilakukan segera bagi membolehkan keselesaan pengguna dan meningkatkan sektor pelancongan ke kawasan itu.

Menurutnya, baik pulih jalan yang dilakukan itu juga menjana ekonomi penduduk setempat kepada industri pelancongan yang terdapat di kawasan itu.


Sumber : Sinar Harian Online 22/10/08 (www.sinarharian.com.my)

izzi note :
Penulis bersetuju dengan penyaluran segera wang peruntukan tersebut untuk pembangunan penduduk setempat. Namun kerajaan harus sedar bahawa pembangunan dengan mewujudkan jalan baru terus ke kuala tahaun sekarang telah menyebabkan penduduk melayu di tepi-tepi sungai pahang sekarang terus mundur. Di kampung Labu sendiri, mengikut pemerhatian penulis yang berkunjung ke sana 2 bulan yang lepas mendapati kawasan lot kedai, dewan orang ramai dan surau di tepi jeti lama terbiar. Pelancong asing dan tempatan mungkin tidak sedar wujud petempatan di tepi-tepi sungai berikutan wujudnya jalan baru yang menjadikan jalan lama hanya digunakan oleh penduduk tempatan.

Kerajaan juga di saran membina pusat sehenti di kawasan jalan ke Taman Negara Kuala Tahan bagi kemudahan penduduk setempat menjalankan perniagaan kraf atau memasarkan hasil tanaman. Buah-buahan hasil penduduk setempat seperti buah pulasan, tembikai dan jagung adalah sangat segar dan manis dan sesuai dimajukan sebagai produk untuk dipasarkan kepada pelancong dan penduduk sekitar. Dengan cara ini taraf hidup penduduk juga akan bertambah baik. Kerajaan perlu sedar bahawa Taman Negara adalah salah satu produk pelancongan utama di Jerantut, dan bukan satu-satunya produk pelancongan yang wujud.